Selangor benam KL City

Selangor benam KL City



mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kelana Jaya: Selangor FC memastikan mereka layak digelar raja Lembah Klang selepas merakam kemenangan tipis 1-0 mengatasi Kuala Lumpur City (KL City) FC, sebentar tadi.

Aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu menyaksikan jurulatih Selangor FC Katsuhito Kinoshi mempertaruhkan skuad terbabit bagi memastikan tiga mata menjadi milik mereka.

Malah, tonggak Selangor Faisal Halim turut diberikan lilitan kapten untuk mengemudi pasukan dalam usaha merobek kubu skuad The City Boys.

Pada aksi babak pertama menyaksikan pertembungan agak sendu apabila kedua-dua pasukan kurang melakukan serangan berbahaya bagi mencari gol pembukaan.

Namun, corak permainan di babak kedua berubah apabila kedua-dua pasukan menukar taktikal dengan lebih berani melakukan serangan berbahaya.

Gol yang ditunggu ribuan penyokong tuan rumah akhirnya hadir pada minit 63 apabila kesilapan pertahanan KL City memberi peluang kepada Alvin Fortes untuk menggegarkan gawang lawan.

Walaupun tambahan masa enam minit diberikan pada babak kedua namun tiada sebarang jaringan lagi dicipta sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan ke-12 Selangor FC itu terus mengukuhkan kedudukan di tangga kedua Liga Super menerusi 38 mata di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT).

Ujian berikutnya buat Selangor adalah menentang Penang pada 25 Januari sementara KL City bakal berdepan Sri Pahang FC.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top