Selangor buktikan 'ubi muda' tempatan ada kualiti

Selangor buktikan 'ubi muda' tempatan ada kualiti



sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bekas pemain bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail berpendapat Selangor FC mempunyai skuad masa depan yang sangat ampuh selepas pemain muda mereka membuktikannya di dalam perlawanan penting sehingga berjaya memperoleh kemenangan.

Jelasnya, perkara itu dibuktikan apabila pengendali Red Giants, Nidzam Jamil berani mengambil keputusan dengan menurunkan mereka dalam perlawanan Liga Juara-Juara Asia II (ACL II), Rabu lalu

Katanya, itu juga membuktikan pemain tempatan juga mempunyai bakat apabila peluang yang diberikan tidak disia-siakan sebaliknya mereka memberikan komitmen sepenuh jiwa.

“Selangor menurunkan ramai pemain muda tempatan semasa lawan kelab Korea Selatan (Jeonbuk FC) baru-baru ini dan mereka buktikan (keupayaan) apabila mereka menang. Itu bermakna pemain tempatan kita tidak ketandusan bakat.

“Mereka hanya nak diberikan peluang yang secukupnya. Jadi percaya dan yakinlah kepada orang kita, Nidzam berani dan mungkin pengurusan bagi dia 100 peratus untuk meletakkan pemain dalam barisan utama.

“Dia nampak pemain muda tempatan boleh menyerlah dan dia bagi peluang. Pemain itu buktikan dengan menunjukkan bakat serta keupayaan mereka. Malah, mereka sudah buktikan boleh bermain.

“Kalau nak tengok satu revolusi bola sepak sebenarnya Selangor sedang buat sekarang ini. Jadi kelab lain kena tengok, cuba bagi keyakinan kepada pemain tempatan,” katanya.

Dalam perlawanan ACL II itu, antara pemain muda yang beraksi sangat konsisten adalah Harith Haiqal Adam Afkar, Azim Al Amin Kamaruddin, Quentin Cheng dan Zikri Khalili dalam kesebelasan utama ketika bertemu kelab Korea Selatan Jeonbuk FC dan menang 2-1.

Bahkan, pemain pertahanan Selangor FC, Harith Haiqal dilihat antara prospek masa depan yang boleh memberi impak sangat besar buat negara apabila dia berjaya mengemudi rakan-rakan selaku ketua pasukan selain berjaya meledak jaringan pembukaan dalam perlawanan itu.

Selain itu, Nidzam Jamil juga tidak bergantung kepada pemain import semata-mata apabila beliau turut meletakkan barisan pemain muda dalam perlawanan Liga Super 2024/2025.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top