Selangor dijinakkan Bangkok United di Petaling Jaya

Selangor dijinakkan Bangkok United di Petaling Jaya


Selangor FC menentang Bangkok United pada aksi pembukaan Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di Stadium MBPJ pada Khamis. FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID

SELANGOR FC membuka tirai saingan Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) dengan kekalahan 2-4 kepada wakil Thailand, Bangkok United di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), pada Khamis .

Skuad bimbingan Kinoshi Katsuhito yang menurunkan kesebelasan terbaik diketuai pemain import Jordan, Noor Al Deen Al Rawaedeh gagal menemui rentak awal permainan tanpa kelibat tonggak utama, Faisal Halim.

Bangkok United kendalian Totchtawan Sripan bermula garang apabila mendahului seawal minit ke-11 menerusi rembatan deras Ilias Alhaft, sebelum Muhsen Saleh Al Ghassani menambah gol kedua hasil tandukan empat minit selepas itu.

The Red Giants kembali menghidupkan permainan apabila penyerang import, Chrigor Morales merapatkan kedudukan pada minit ke-23.

Namun kebangkitan itu dipadam segera apabila Alhaft sekali lagi meledak gol ketiga seminit selepas itu untuk meletakkan pelawat selesa mendahului 3-1.

Dugaan semakin berat buat Selangor selepas pertahanan muda, Harith Haiqal dilayangkan kad merah pada minit ke-39 kerana mengasari Seia Kunori, sekali gus memaksa tuan rumah beraksi dengan 10 pemain.

Memasuki babak kedua, Katsuhito melakukan rombakan taktikal dengan memasukkan Faisal Halim bagi menambah kreativiti di bahagian tengah.

Hasilnya, pemain gantian, Izwan Yuslan berjaya meledak masuk gol kedua Selangor pada minit ke-73.

Namun, Bangkok terus mengukuhkan cengkaman apabila Philipe Maia meledak gol keempat pada minit ke-84, sekali gus menutup peluang kebangkitan Selangor meskipun tampil dengan semangat juang tinggi di hadapan penyokong sendiri.

Kekalahan itu menyaksikan Selangor terpaksa akur memulakan kempen ACL2 dengan langkah kiri sebelum kembali ke pentas Liga Super menentang Kuching City pada Ahad.

Red Giants kemudiannya akan melayan kunjungan wakil Singapura, Tampin Rovers dalam aksi kedua Kumpulan G ACL2 di Petaling Jaya pada 24 September ini.

Ringkasan AI

  • SELANGOR FC kalah 2-4 kepada Bangkok United dalam Liga Juara-Juara Asia
  • Skuad Selangor gagal menemui rentak awal permainan tanpa Faisal Halim
  • Bangkok United mendahului dengan dua gol cepat dalam 15 minit pertama
  • Pemain pengganti Selangor, Izwan Yuslan berjaya menjaringkan gol kedua bagi pihaknya
  • Selangor terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Harith Haiqal menerima kad merah



Source link

OR

Scroll to Top