Selangor FC akui sambutan penyokong suram

Selangor FC akui sambutan penyokong suram


SELANGOR FC mengakui kesuraman saingan Liga Malaysia (Liga-M) terutama kehadiran penyokong ke stadium yang semakin menurun untuk menonton aksi setiap perlawanan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, isu kehadiran penyokong itu dapat dilihat dalam tempoh tiga bulan terakhir ini berdasarkan statistik penonton di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Menurut Johan, perubahan tempoh saingan liga yang menjadi agak panjang mungkin menjadi faktor utama dan pihaknya juga sedar perlu melakukan sesuatu untuk kembali menarik minat penyokong ke stadium.

“Kita berharap penyokong sentiasa berada di belakang pasukan kerana pemain dan jurulatih memang berharap penyokong dapat datang balik ke stadium.

“Senario ini bukan sahaja berlaku di Selangor tetapi di seluruh negara. Tempoh dua atau tiga bila bulan baru-baru ini memang minat penyokong agak kurang.

“Mungkin kerana tempoh musim yang panjang dan itu transisi yang perlu dihadapi Selangor dan juga kelab lain.

“Harapnya apabila kita dah jumpa tarikh liga baharu iaitu kembali menjadi 12 bulan, dapat mengurangkan isu yang kita hadapi dari segi kehadiran penyokong,” katanya selepas majlis menandatangani kerjasama antara Selangor FC dan RMS Synergy pada Rabu.

Sebelum ini, Liga-M didakwa semakin suram menyaksikan minat penyokong untuk hadir ke stadium merosot dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.

Ia terbukti apabila Selangor sendiri berdepan masalah tersebut yang menyaksikan stadium dipenuhi penonton pada awal musim dan kemudiannya merosot dengan terbaharu aksi bertemu finalis Piala Malaysia, Sri Pahang di Stadium MBPJ Sabtu lalu hanya mencatatkan 3,023 kehadiran penonton.

Untuk rekod, saingan Liga-M musim ini berbeza daripada musim-musim sebelum ini apabila Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) melakukan perubahan menyaksikan saingan liga bermula pada pertengahan tahun susulan beberapa faktor termasuk transisi untuk mengikut format kalendar Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Johan berkata, pengurusan Selangor FC juga melihat tempoh transisi ini memberikan kesan kepada pasukan terutama dalam menyediakan dana untuk tempoh saingan liga sehingga 17 bulan.

“Transisi ini juga menjadi salah satu masalah, selalunya dana disediakan untuk 12 bulan tetapi kebanyakan kelab perlu sediakan untuk tempoh 17 bulan.

“Sebab itu banyak isu terutama kewangan yang timbul kerana perlu sediakan dana tambahan lima hingga enam bulan untuk tahun yang sama.

“Penyokong juga nampak isu-isu negatif yang timbul ditambah dengan jurang setiap perlawanan yang panjang menjadi punca mereka kurang minat ke stadium,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top