Selangor FC atasi KDN di Petaling Jaya

Selangor FC atasi KDN di Petaling Jaya


SELANGOR FC dipaksa bekerja keras sebelum meraih tiga mata berharga setelah menumpaskan Kelantan Darul Naim (KDN) FC 2-0 dalam saingan Liga Super sebentar tadi.

Biarpun mendominasi perlawanan, skuad Gergasi Merah hanya memecah kebuntuan gol pada minit ke-66 hasil ledakan Ronnie Fernandez.

Ketika menuju penghujung babak kedua, Fernandez menjadi duri dalam daging buat KDN FC apabila meledak gol kedua menerusi sepakan penalti pada minit ke-86.

Lebih 7,000 penonton di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) juga dapat mengubat kerinduan apabila berpeluang menyaksikan penampilan kali pertama pemain sensasi, Faisal Halim yang menjadi mangsa simbahan asid Mei lalu.

Pemain berusia 26 tahun itu yang mengenakan topeng hitam masuk menggantikan Reziq Banihani.

Terdahulu pada separuh masa pertama pasukan tuan rumah berpeluang untuk berada di depan, namun percubaan kapten, Safuwan Baharudin dikeluarkan dengan baik pemain pertahanan lawan.

Peluang juga hadir buat Fernandez, namun sentuhannya yang hanya berdepan penjaga gol KDN FC, Khatul Anuar Md Jalil melepasi palang.

Menuju minit akhir babak pertama, skuad Gergasi Merah hampir dikejutkan pasukan pelawat, namun mujur peluang yang diraih pemain import, Valdumar Augusto gagal disudahkan dengan kemas.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top