Selangor tewas kepada Sri Pahang dalam aksi pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Ahad. Foto Selangor FC
[DIKEMAS KINI] PENGENDALI Selangor, Katsuhito Kinoshi mengakui skuad Gergasi Merah berada dalam situasi sukar selepas dua kekalahan berturut-turut dan mengharapkan sokongan berterusan daripada peminat.
Selangor tewas kepada Muangthong United dalam aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) baru-baru ini selain tersingkir daripada Piala Malaysia selepas tunduk kepada Sri Pahang FC dalam saingan pusingan 16 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Ahad.
Kekalahan itu juga menyaksikan Kinoshi yang baru saja mengambil alih pasukan pada 23 November lalu gagal mencatatkan kemenangan dalam dua perlawanan pasukan itu di bawah kendalian beliau.
Bagaimanapun, beliau percaya pasukan akan bangkit daripada kekalahan tersebut selain mengakui Selangor mempunyai kualiti dan telah memahami karakter para pemain.
“Saya memahami pemain dan keupayaan mereka melangkaui jangkaan saya sebelum saya ke sini. Jadi, apa yang kita boleh lakukan iaitu menggunakan perlawanan ini dan cuba menambah baik persembahan.
“Saya faham karakter, kecergasan, taktikal dan personaliti pemain. Tetapi, masih dalam jangka masa satu minggu (mengambil alih pasukan).
“Jadi, mungkin nanti akan ada situasi lebih sukar pada masa akan datang, tetapi ketika itu kami perlu memberikan reaksi untuk menghadapi situasi tersebut.
“Saya boleh katakan kepada anda dan penyokong untuk terus memberikan sokongan kerana sekarang kita sedang berdepan masa sukar. Kami perlukan sokongan anda,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Dalam perlawanan di Stadium MBPJ itu, Selangor tersingkir daripada saingan Piala Malaysia selepas tewas secara agregat 2-3 kepada Sri Pahang FC.
Mengulas mengenai perlawanan tersebut, Kinoshi tidak mahu menyalahkan Video Bantuan Pengadil (VAR) biarpun dua gol terhasil untuk Sri Pahang hasil semakan VAR.
“Namun, malangnya saya perlu menyatakan realiti kami kalah dan bolos dua gol kerana VAR. Namun, inilah bola sepak, kami tidak boleh menyalahkan pengadil.
“Apa boleh kami buat adalah melihat kembali dua perlawanan ini dan bangkit pada perlawanan seterusnya,” katanya.