Selangor FC mahu lebarkan rekod tanpa kalah

Selangor FC mahu lebarkan rekod tanpa kalah



mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selangor FC menyimpan impian mahu menutup musim 2024/2025 dengan kenangan terindah menerusi rekod tanpa kalah dengan mengutip tiga mata penuh dalam setiap perlawanan.

Ketua jurulatih Selangor, Katsuhito Kinoshi menaruh harapan tinggi untuk pasukannya melebarkan rekod tanpa kalah selepas tidak tewas dalam 14 perlawanan terakhir mereka bagi semua pertandingan.

Justeru, pengendali dari Jepun berusia 60 tahun itu menuntut barisan pemain Gergasi Merah untuk terus berusaha keras dan mempamerkan prestasi terbaik dalam baki tiga perlawanan terakhir Liga Super.

“Selepas 14 perlawanan tanpa kalah, ia menakjubkan, tetapi (sebelum ini) saya sentiasa katakan sasaran kami adalah menjuarai Piala Cabaran dan meraih tempat kedua liga.

“Pemain dan staf memberikan usaha 100 peratus untuk meraih keputusan yang baik dan saya amat menghargainya.

“Saya bangga dengan pemain saya selepas mendapatkan tempat kedua dan tidak tewas dalam 14 perlawanan.

“Namun, kami masih berbaki tiga perlawanan, jadi kami mesti menunjukkan prestasi yang baik untuk seluruh peminat Selangor,” kata Kinoshi yang dilantik membimbing Selangor pada November tahun lalu.

Kali terakhir Selangor mengalami kekalahan adalah ketika tunduk 1-2 kepada Sri Pahang dalam aksi kedua pusingan 16 terakhir Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBP), 1 Disember lalu.

Berdepan detik mengecewakan tersingkir awal dari saingan Piala Malaysia, skuad Gergasi Merah kemudian bangkit dengan rekod tanpa kalah dalam 14 perlawanan seterusnya yang membabitkan tujuh aksi Liga Super, satu perlawanan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) dan enam di pentas Piala Cabaran.

Skuad Kinoshi kini hanya memiliki tiga tugasan sahaja lagi untuk musim ini berdepan Kuching City, Terengganu FC dan PDRM dalam baki tiga perlawanan Liga Super.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top