Johan (dua kiri) menunjukkan jersi Selangor FC yang digunakan dalam saingan Kejuaraan Kelab ASEAN. Foto SELANGOR FC
SELANGOR FC bersedia mengharungi laluan berliku dalam Kejuaraan Kelab ASEAN 2025/2026 selepas diundi dalam Kumpulan A yang dibarisi kelab gergasi rantau Asia Tenggara termasuk juara bertahan Thailand, Buriram United.
Skuad Gergasi Merah turut berdepan cabaran satu lagi kelab elit Thailand, BG Pathum United dan gergasi Liga Vietnam, Cong An Hanoi FC dalam saingan yang dianggap antara kumpulan paling sukar musim ini.
Naib juara Liga Perdana Singapura (SPL) musim lalu, Tampines Rovers FC turut diundi dalam kumpulan tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon mengakui Buriram United menjadi ujian terbesar, memandangkan kelab itu adalah antara dua pasukan terbaik Asia dan ASEAN, selain beraksi di Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) iaitu kejohanan lebih tinggi berbanding Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).
“Bagi kami, kejayaan akhir memang menjadi sasaran tetapi yang lebih penting adalah usaha dan komitmen maksimum.
“Pemain akan beri segalanya di dalam dan luar padang untuk memburu keputusan positif,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Perkongsian Strategik Selangor FC bersama Grantt Lubricants.
Dalam majlis sama, Selangor FC turut memperkenalkan jersi rasmi yang akan digunakan dalam Kejuaraan Kelab ASEAN itu nanti.
Tambah Johan, segala persiapan telah dirancang rapi untuk aksi pembuka tirai menentang Buriram di Stadium Chang Arena pada 20 Ogos ini.
“Keyakinan pasukan tetap tinggi biarpun laluan yang menanti penuh cabaran,” ujarnya.