Selangor FC tak panik

Selangor FC tak panik


SELANGOR FC tidak panik meskipun aksi pramusim mereka setakat ini dilihat kurang meyakinkan, termasuk keputusan seri tanpa jaringan menentang skuad veteran Asia Warriors FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, baru-baru ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon, penilaian yang dibuat oleh jawatankuasa teknikal pasukan berkaitan prestasi pasukan ketika ini turut masih mempercayai keupayaan pengendali, Katsuhito Kinoshi.

Malah,beliau berkata, keputusan ketika aksi pramusim tidak menggambarkan prestasi keseluruhan pasukan.

“Setakat ini, bila kita bercakap mengenai keputusan teknikal atau penilaian dari sudut teknikal, jawatankuasa teknikal masih yakin dan percaya kepada keupayaan jurulatih.

“Jika kita lihat semasa pramusim, ramai pemain tidak bersama pasukan. Beberapa pemain import tidak dapat sertai, dan beberapa pemain muda pula terlibat dengan skuad bawah 23 tahun,” katanya.

Tambah beliau, pasukan turut berdepan isu kecederaan dan masalah kesihatan dalam kalangan tonggak utama ketika aksi menentang Asia Warriors.

“Malah semasa aksi menentang Asia Warriors pun, dua pemain tengah utama Nooa Laine dan Noor Al Rawabdeh tidak dapat diturunkan akibat demam. Jadi keputusan perlawanan itu berdasarkan apa yang dirumuskan oleh jawatankuasa teknikal menyatakan bukan gambaran penuh kekuatan pasukan.

“Apatah lagi setakat ini juga, kesebelasan utama pun belum dimuktamadkan sepenuhnya,” ujarnya.

Johan turut memuji pendekatan Kinoshi yang memberikan peluang seimbang kepada semua pemain, termasuk membawa naik antara enam hingga tujuh pemain muda dari skuad Selangor 2 untuk menyertai kem latihan pramusim.

“Tidak ramai jurulatih yang berani ambil risiko membawa pemain muda, terutama bagi pasukan yang akan beraksi dalam ACL 2. Tapi Kinoshi mahu beri ruang kepada semua pemain membuktikan kemampuan.

“Ketika menentang Asia Warriors juga, kita lihat minit permainan diberikan dengan cukup seimbang antara semua pemain,” katanya.

Beliau juga optimis barisan kejurulatihan akan menemui formula terbaik menjelang permulaan musim baharu.

“Kita percaya Kinoshi sedang membuat penilaian menyeluruh, dan insya-Allah beliau akan mempunyai rumusan terbaik untuk memulakan saingan kompetitif nanti,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top