Selangor hadiahkan kemenangan buat penyokong setia

Selangor hadiahkan kemenangan buat penyokong setia



firdaushashim@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Selangor FC mengotakan janji untuk menghadiahkan tiga mata penuh buat penyokong setia Gergasi Merah apabila mudah membenam PDRM FC 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini, malam tadi.

Kejayaan itu membolehkan skuad kendalian Katsuhito Kinoshi menutup kempen Liga Super musim ini dengan nota kemenangan sekali gus mengumpul 52 mata di tangga kedua.

Dalam aksi itu, Selangor FC yang sudah mengesahkan kedudukan selaku naib juara lebih awal mendapat peluang terbaik untuk memecah kebuntuan pada minit ke-21 selepas meraih sepakan penalti namun penjaga gawang PDRM FC, Nur Hakeem Hamidun menafikan hasrat Ronnie Fernandez daripada meledak gol pembukaan.

Pelawat sebaliknya mengejutkan tuan rumah apabila Ifedayo Olusegun berjaya merobek gawang tuan rumah pada minit ke-34 namun Selangor FC terselamat apabila jaringan itu dibatalkan kerana penyerang itu berada dalam keadaan ofsaid.

Bersambung babak kedua, anak didik Kinoshi bermula garang apabila gol yang diburu muncul hanya tiga minit selepas rehat menerusi rembatan deras Alvin Fortes akhirnya membuatkan Hakeem tertewas untuk menukar kedudukan kepada 1-0.

Percubaan Fortes terkena tiang pada minit ke-90 sebelum Yohandry Orozco melebarkan jurang dengan gol kedua hasil hantaran Danial Asri pada masa tambahan untuk menjadikan kedudukan 2-0 buat tuan rumah.

Kekalahan itu menyaksikan PDRM FC menamatkan kempen di tangga kesembilan dengan tujuh kemenangan dan enam seri untuk mengumpul 27 mata.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top