Selangor hantar misi bantuan pasca banjir ke Kelantan

Selangor hantar misi bantuan pasca banjir ke Kelantan


SHAH ALAM: Selangor menggerakkan 130 kekuatan bersama 45 jentera terdiri daripada lori tangki dan lori ‘roll on roll off’ (roro) milik pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini dalam Skuad Ihsan Madani ke Kelantan bagi bantuan operasi pasca banjir, hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pasukan itu bertolak pada hari ini dan akan melaksanakan kerja pembersihan bermula esok sehingga Khamis ini.

“Misi ini merupakan manifestasi dan keprihatinan negeri tanpa mengira penduduk dan lokasi. Pasukan akan bantu kerja pembersihan di kawasan kritikal dan kita utamakan kemudahan awam seperti masjid, surau atas nasihat Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Selain bantuan tenaga, kita turut menyediakan bakul makanan serta bahan pencuci untuk disalur kepada mangsa daripada Yayasan MBI. Anggaran kos untuk misi ini mencecah RM400,000 yang disumbang pelbagai pihak antaranya KDEBWM dan PBT,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan pelepasan Konvoi Misi Bantuan Bencana Skuad Ihsan Madani: Bantuan Pasca Banjir Negeri Kelantan, hari ini.

Jelasnya, misi tersebut turut disertai syarikat kutipan sampah negeri KDEB Waste Management (KDEBWM) menumpukan pembersihan infrastruktur awam yang terkesan selain rumah penduduk yang terjejas terus.

“Sebelum ini, Selangor pernah menghantar pasukan bantuan beberapa kali bagi membantu mangsa banjir di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu Selangor turut menyiapkan sumber manusia ketika ini bagi mendepani kejadian banjir susulan fenomena air pasang yang berlaku ketika ini.

“Pagi tadi air pasang cecah lima meter. Semalam pun agak tinggi tetapi kita bersyukur kerana tak ada hujan lebat. Kita hanya terkesan ketika gelombang pertama (bulan lepas).

“Kita bersedia dan kumpulkan semua unit. Agensi persekutuan seperti polis, bomba memang sudah bersedia dan agensi negeri, PBT juga bersedia. Sukarelawan Selangor dan Team Selangor jalani simulasi sebagai persediaan,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan KDEBWM, Datuk Ramli Md. Tahir memberitahu, pihaknya menghantar lima asetnya bagi membantu Skuad Ihsan Madani membantu kerja-kerja pembersihan pasca banjir di negeri Pantai Timur itu.

“Pasukan KDEBWM akan pergi ke Tumpat dan bertugas di bawah koordinasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan dijangka sampai di sana pada petang atau malam nanti sebelum memulakan tugas esok.

“Kita juga akan memantau operasi di sana dan respon kepada keperluan penambahan aset ke lokasi berkenaan sekiranya perlu berbuat demikian. Misi yang dilancarkan hari ini adalah yang ketiga disertai KDEBWM di Kuala Krai, Kelantan pada 2015 dan 2022 di Segamat, Johor,” katanya. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top