KUALA LUMPUR – Selangor FC menerima tamparan menjelang aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) menentang Jeonbuk di Petaling Jaya malam esok apabila tonggak tengahnya, Noor Al-Rawabdeh terpaksa berehat panjang.
Menerusi perkongsian Intagram Story milik, bintang Jordan berusia 27 tahun itu memaklumkan dia mengalami kecederaan lutut anterior cruciate ligament (ACL).
“Hasil pemeriksaan mendapati saya didiagnosis dengan kecederaan ACL. Kami hanya mengatakan apa yang diredhai Allah, maka segala puji bagi Allah untuk segala-galanya,” tulisnya.
Musim ini, Al-Rawabdeh merekodkan 43 penampilan dengan tujuh gol dan lima bantuan jaringan dalam semua pertandingan buat Gergasi Merah termasuk dalam saingan ACL2.
Ketiadaannya pasti akan merumitkan perancangan ketua jurulatih, Nidzam Jamil, khususnya dalam dua perlawanan penting berturut-turut menentang Jeonbuk dalam ACL2 malam esok dan aksi Liga Super bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) hujung minggu ini. – MalaysiaGazette