Selangor mengamuk tewaskan Negeri Sembilan di Paroi

Selangor mengamuk tewaskan Negeri Sembilan di Paroi


SEREMBAN: Pasukan Selangor FC kembali ke kedudukan kedua Liga Super apabila meraih tiga mata selepas menumpaskan Negeri Sembilan FC  dengan jaringan 4-0 pada aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dekat sini malam tadi.

Dalam perlawanan yang dikuasai pelawat itu, Selangor memperoleh gol pertama pada minit ke-15 hasil jaringan Aliff Haiqal Lokman Hakim yang menerima hantaran silang Ali Iyad Ali Olwan lalu menewaskan penjaga gol NSFC, Tauffiq Ar Rasyid Johar. 

Minit ke-27, Negeri Sembilan turut mencipta peluang untuk menyamakan kedudukan namun tandukan Muhammad Hadin Azman di depan pintu gol Selangor tersasar ke tepi gawang.

Selangor terus mengukuhkan kedudukan pada minit ke-39 apabila dihadiahkan peluang sepakan percuma dari jarak 30 meter gol pasukan tuan rumah.

Alvin Mateus Fortes melakukan sepakan yang terkena tiang kiri gol Negeri Sembilan sebelum bola melantun masuk ke dalam gawang untuk gol kedua Selangor.

Tuan rumah terus tertekan, apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pertahanan kanan, Che Rashid Che Halim dilayangkan kad merah pada minit ke-43 selepas mengasari pemain Selangor. 

PERTAHANAN Selangor, Sharul Nazeem Zulpakar (tengah) diasak pemain Negeri Sembilan pada aksi Liga Super di di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Memasuki separuh masa kedua, Selangor terus melebarkan jaringan pada minit ke-47 melalui Quentin Cheng Jiun Ho yang masuk ke kubu lawan lalu merembat deras bola ke gawang tuan rumah menewaskan Taufiq Ar Rasyid.

Pemain import Selangor, Yohandry Jose Orozco Cujia terus memberi duka buat Negeri Sembilan apabila sepakan dari luar kotak penalti terus ke gawang tuan rumah untuk gol keempat pelawat.

Selepas mengharungi 15 perlawanan, Selangor kini menduduki tangga kedua liga dengan 32 mata manakala Negeri Sembilan terus berada di dasar liga dengan hanya mengutip enam mata.-UTUSAN.

 





Source link

OR

Scroll to Top