Selangor miliki pakej sempurna julang Piala Cabaran

Selangor miliki pakej sempurna julang Piala Cabaran


Dari kiri, Kinoshi, kapten Selangor, Safuwan Baharuddin, kapten PDRM FC, Faith Friday Obilor dan Maniam selepas sidang media pra perlawanan akhir Piala Cabaran di Petaling Jaya, pada Jumaat. Foto Liga Bolasepak Malaysia (Gambar kecil: Jamal Nasir)

SELANGOR FC disifatkan memiliki pakej sempurna untuk menjulang Piala Cabaran berbanding penyandang juara PDRM FC musim ini.

Malah menurut legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail, Gergasi Merah kendalian Katsuhito Kinoshi itu berada pada prestasi terbaik saingan Liga Super selepas menjinakkan Sri Pahang, 2-0 dalam aksi terakhir liga.

“Sejujurnya, kedudukan dalam saingan liga merupakan petunjuk prestasi bagi menilai kemampuan sesebuah pasukan itu terutamanya dalam perlawanan akhir.

“Kelebihan itu milik Selangor pada ketika ini apabila mereka berada di kedudukan kedua di belakang JDT (Johor Darul Ta’zim) yang kini memimpin Liga Super.

“Selain itu, Selangor juga memiliki penyerang Ronnie Fernandez antara yang menonjol apabila meledak 10 gol dalam saingan Liga Super ketika ini selain Alvin Fortes,” katanya kepada Sukan Sinar sambil turut menyifatkan kelincahan Faisal Halim dan Ali Olwan pencetus kekuatan Selangor.

Selangor akan berdepan PDRM dalam perlawanan timbal balik akhir Piala Cabaran di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Sabtu diikuti aksi kedua di Stadium Perbandaran Selayang seminggu selepas itu.

Pada masa sama jelas bekas pemain pertahanan Harimau Malaya dan Pahang itu tidak menolak The Cops kendalian P Maniam mampu menghadirkan kejutan di Petaling Jaya.

Jelas Jamal, ini selepas anak buah Maniam selesai mengharungi perlawanan kompetitif terakhir liga menentang pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim.

“Biarpun PDRM tewas jaringan empat gol kepada JDT, namun perlawanan ini sebenarnya pentas kepada PDRM untuk memperkemaskan pasukan, satu pendedahan terbaik buat pemain kurang minit permainan sebelum berdepan Selangor.

“Kelincahan peledak PDRM seperti Ifedayo Olusegun akan menjadi inspirasi kepada Shahrel Fikri dan Bruno Suzuki untuk lebih menyerlah dalam timbal balik pertama,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top