Selangor negeri terbaru dilanda banjir, 6 keluarga ditempatkan di PPS Bukit Kapar

Selangor negeri terbaru dilanda banjir, 6 keluarga ditempatkan di PPS Bukit Kapar



am@hmetro.com.my

Shah Alam : Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan MPKK Bukit Kapar susulan banjir di Jalan Kempas dan Jalan Sebaya, Kapar, malam ini.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, PPS berkenaan menempatkan enam sekeluarga, setakat ini.

Exco Pengurusan Bencana Selangor, Mohd Najwan Halimi, berkata air mula naik kira-kira jam 7 petang pada paras 0.1 hingga 0.3 meter.

Katanya, 50 rumah dianggar terbabit.

“Punca banjir disebabkan hujan sangat lebat dalam tempoh singkat di hulu kawasan bukit; sistem saliran dalaman yang tidak sempurna serta tidak dapat menampung kapasiti air larian yang tinggi.

“Saliran dalaman di kawasan Jalan Kempas tidak dapat menampung kapasiti larian air hujan dari kawasan tinggi dari Bukit Cerakah dan Bukit Kapar,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, dua kenderaan terkandas akibat banjir kilat di Jalan Meru ke Bandar Setia Alam berdekatan sebuah stesen minyak, berikutan hujan lebat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, dua kenderaan itu jenis kenderaan pacuan empat roda Isuzu D-Max dan sebuah Perodua Axia.

Katanya, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 7.53 malam sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong bergegas ke lokasi kejadian.

“Sejurus tiba di lokasi, didapati semua mangsa sudah keluar daripada kenderaan masing-masing,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top