Pemain Selangor FC, Alvin Mateus Fortes (tengah) diasak pemain Malaysian University dalam saingan Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya. Foto: Bernama
PENGENDALI Selangor FC, Katsuhito Kinoshi mahu anak buahnya mencontohi ketahanan mental dan fizikal kelab gergasi England, Liverpool dalam menghadapi jadual padat ketika ini.
Menurutnya, The Red Giants bakal berdepan cabaran besar apabila perlu mengharungi empat perlawanan dalam tempoh hanya 10 hari merangkumi aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2), Kejohanan Kelab ASEAN dan Liga Super.
“Kalau bermain bola sepak, semua tahu betapa sukarnya untuk kekal berada dalam kondisi terbaik apabila terpaksa melalui empat perlawanan dalam 10 hari.
“Sebab itu, kami hanya perlu fokus pada diri sendiri, memastikan setiap pemain berada dalam keadaan terbaik untuk beraksi. Ini satu ujian besar buat kami,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan menentang Malaysia Universiti dalam Pusingan 16 Piala FA.
Kinoshi berkata, Selangor kini antara pasukan yang mempunyai jadual paling sibuk musim ini dan perlu berada pada tahap terbaik bagi memastikan meraih keputusan positif dalam setiap perlawanan yang dilalui.
“Kalau lihat, hanya kami dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Malaysia yang berdepan situasi ini. Malah, di Eropah, pasukan seperti Liverpool juga mempunyai jadual padat dengan tujuh perlawanan.
“Jadi kami perlu jadi seperti Liverpool dalam menjaga kondisi pasukan. Bezanya, kami hanya ada 25 pemain, jadi itulah cabaran sebenar bagaimana untuk menghadapinya,” ujarnya.
Selepas berdepan Malaysia University yang menyaksikan mereka membelasah pasukan ‘budak U’ itu pada Sabtu, Selangor akan berdepan Bangkok United di laman sendiri pada Khamis ini dalam aksi ACL 2.
Mereka kemudiannya akan terbang ke Sarawak untuk menghadapi Kuching City FC dalam aksi Liga Super tiga hari kemudian sebelum menanti kunjungan kelab Singapura Tampines Rovers dalam perlawanan Kelab Asean pada 24 September.
Ringkasan AI
- Pengendali Selangor FC, Katsuhito Kinoshi mahu anak buahnya mencontohi ketahanan mental dan fizikal Liverpool
- Selangor FC perlu mengharungi empat perlawanan dalam tempoh hanya 10 hari
- Kinoshi menyatakan ini sebagai ujian besar bagi pasukan
- Selangor merupakan salah satu daripada dua pasukan di Malaysia, selain Johor Darul Ta’zim, yang menghadapi jadual padat seperti ini
- Kinoshi menekankan keperluan menjaga kondisi pasukan dengan hanya memiliki 25 pemain untuk menghadapi cabaran tersebut