Chrigor antara watak penting ketika Selangor menewaskan MUFT dalam Pusingan 16 Piala FA di Petaling Jaya pada Sabtu. – Foto: Selangor FC
SELANGOR FC kembali menunjukkan taring di pentas Piala FA apabila membelasah Malaysia University Football Team (MUFT) 9-0 pada aksi kedua pusingan 16 terbaik di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya, malam Sabtu.
Kemenangan bergaya itu menyaksikan skuad kendalian Kinoshi Katsuhito mara ke suku akhir dengan agregat 12-1 selepas mencatat kemenangan 3-1 pada perlawanan pertama.
Penyerang import dari Brazil, Chrigor Moraes, muncul wira Gergasi Merah apabila meledak hatrik jaringan satu gol pada masa kecederaan babak pertama sebelum menambah dua lagi jaringan pada minit ke-76 dan ke-80.
Tonggak pertahanan, Kevin Deeromram turut menyerlah apabila membuka tirai jaringan seawal minit ke-12 sebelum menambah gol kedua peribadi pada minit ke-48.
Pemain pertahanan kanan, Quentin Cheng turut menyumbang gol pada minit ke-21 manakala import dari Belanda, Alvin Fortes, meledak jaringan kelima pasukan pada minit ke-55.
Dua pemain gantian, Zach Clough (m-70) dan Ahmad Zikri Mohd Khalili (masa kecederaan) melengkapkan pesta gol Gergasi Merah.
Kemenangan ini memastikan Selangor bakal berdepan Negeri Sembilan FC di peringkat suku akhir selepas lawan itu menyingkirkan PDRM FC dengan agregat 5-1.
Sementara itu, Terengganu FC turut mara ke suku akhir apabila menewaskan Imigresen FC 3-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus.
Pemain sayap lincah, Muhammad Akhyar Rashid meledak dua gol (m-31, m-51) selepas Junior Sam Ngong membuka jaringan pada minit ke-17.
Kemenangan itu menyaksikan Sang Penyu melangkah dengan agregat 4-2 selepas tewas 1-2 di laman lawan sebelum ini.
Dalam pada itu, perlawanan Sabah FC menentang Bunga Raya FC di Stadium Likas terpaksa ditangguhkan berikutan hujan lebat yang menyebabkan padang ditakungi air dengan Sabah ketika ini selesa mendahului agregat 6-0.
Ringkasan AI
- SELANGOR FC mengalahkan Malaysia University Football Team (MUFT) 9-0 dalam Piala FA untuk mara ke suku akhir dengan agregat 12-1
- Penyerang import dari Brazil, Chrigor Moraes, mencetak hatrik dalam perlawanan itu
- Kevin Deeromram dan Quentin Cheng turut menyumbang gol untuk kemenangan SELANGOR FC
- Selangor akan berdepan Negeri Sembilan FC di peringkat suku akhir
- Terengganu FC juga mara ke suku akhir dengan mengalahkan Imigresen FC 3-0