Fortes bersama Faisal meraikan jaringan Selangor semasa menentang Kuala Lumpur pada perlawanan Derbi Lembah Klang Liga Super di Petaling Jaya pada Ahad.
SELANGOR FC kembali merampas status Raja Lembah Klang selepas menewaskan Kuala Lumpur City, 1-0 dalam perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Ahad.
The Red Giants bimbingan Katsuhito Kinoshi menurunkan kesebelasan terbaik dengan Faisal Halim kembali diberikan tanggungjawab sebagai kapten mengemudi Ronnie Fernández dan Alvin Fortes di bahagian peledak.
The City Boys kendalian Miroslav Kuljanac diketuai kapten Paulo Jose dibantu Kenny Pallraj, Sean Giannelli, J Partiban, Zhafri Yahya dan Ryan Lambert tampil dengan misi mengekalkan kemenangan 1-0 Derbi Lembah Klang hasil jaringan Jovan Motika di Cheras pada 14 Julai lalu.
Separuh masa pertama, Kuala Lumpur yang bermain tanpa khidmat Declan Lambert dan Brendan Gan dengan Motika di bangku simpanan berjaya menyaingi rangkaian serangan Selangor.
Separuh masa kedua, kedua-dua pasukan meningkatkan serangan menyaksikan permainan bertambah rancak, namun percubaan rangkaian serangan Selangor dan Kuala Lumpur dihampakan dengan ketumpulan penyudah.
Bagaimanapun, Selangor akhirnya berjaya keluar sebagai pemenang di Petaling Jaya apabila Fortes bijak memanfaatkan kecuaian pertahanan Kuala Lumpur untuk jaringan minit ke-68.
Tiga mata diraih Selangor membolehkan Red Giants mengumpul 35 mata selepas mengharungi 16 perlawanan, empat mata di belakang pendahulu Johor Darul Ta’zim (JDT) yang lebih satu perlawanan.
Kuala Lumpur pula kekal dengan 17 mata selepas mengharungi 15 perlawanan – tujuh menang, dua seri dan enam tewas – selepas ditolak enam mata Jawatankuasa First Instance Body (FIB).