Selangor sedia gempur Asia Warriors

Selangor sedia gempur Asia Warriors


Dari kiri, Kinoshi, Faisal, pengasas bersama Asia Warriors, Honda dan Anton del Rosario semasa sidang media di Shah Alam pada Sabtu. Foto: SELANGOR FC

PENGENDALI Selangor FC, Katsuhito Kinoshi menyifatkan perlawanan persahabatan menentang Asia Warriors FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Ahad sebagai medan penting menjelang aksi sebenar Liga Malaysia (Liga-M) 2025/26.

Meskipun terpaksa berdepan cabaran apabila beberapa pemain dijangkiti influenza, Kinoshi tetap yakin dengan tahap persediaan The Red Giants yang dilihat semakin mantap.

Kinoshi turut memaklumkan bahawa aksi menentang Asia Warriors ini penting sebagai platform eksperimen dan penilaian terhadap semua pemain, termasuk beberapa pemain baharu yang menyertai skuad Merah Kuning musim ini.

“Saya sangat berbesar hati kerana dipilih sebagai lawan oleh pasukan Asia Warriors. Kami telah membuat persediaan rapi, walaupun beberapa pemain tidak dapat diturunkan kerana dijangkiti selesema

“Namun pemain lain telah menunjukkan persiapan yang baik dan kami bersedia untuk turun beraksi. Dalam masa yang sama, kami juga harus bersedia untuk aksi rasmi menentang JDT (Johor Darul Ta’zim) dalam tempoh dua minggu lagi.

“Saya juga mahu beri peluang kepada semua pemain beraksi esok. Aksi persahabatan ini penting untuk membina keserasian dan mendapatkan keyakinan menjelang musim sebenar,” katanya dalam sidang media praperlawanan di Shah Alam pada Sabtu.

Sebagai rekod, Selangor akan berdepan dengan JDT dalam perlawanan Piala Sultan Haji Ahmad Shah merebut Piala Sumbangsih aksi pembuka tirai Liga-M 2025/26 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 8 Ogos depan.

Sementara itu, pengasas bersama Asia Warriors, Keisuke Honda menyuarakan keyakinan terhadap kesiapsiagaan skuad mereka meskipun berdepan kekangan masa dan persiapan terhad.

“Saya tidak mahu ubah konsep dan misi kami iaitu untuk menang. Kami tidak dapat maklumat tentang pemain Selangor FC. Ini menunjukkan jurulatih mereka pun serius mahu menang,” kata Honda.

Menurut Honda, meskipun Asia Warriors terdiri daripada ramai bekas pemain profesional ternama, namun mereka harus bermain secara bijak menentang pasukan muda dan kompetitif seperti Selangor.

“Secara fizikal mungkin kami tidak seperti dulu, tetapi pengalaman kami membaca permainan dan memahami taktikal adalah kelebihan utama. Kami tak boleh terlalu banyak bolos di awal perlawanan itu bahaya,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top