Selangor tak pandang sebelah mata Kelantan Darul Naim

Selangor tak pandang sebelah mata Kelantan Darul Naim


SELANGOR FC menegaskan mereka tidak akan memandang rendah kemampuan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) meskipun lawan itu berada di kedudukan tercorot dalam saingan Liga Super.

Pengendalinya, Katsuhito Kinoshi berkata, pasukannya tetap bersiap sedia menghadapi perlawanan dengan pendekatan yang sama seperti bertemu pasukan lain.

“Saya tidak boleh mengatakan Kelantan adalah pasukan kecil. Mereka adalah pasukan profesional. Walaupun mereka berada di kedudukan tercorot, mereka pasti tidak mahu memberikan tiga mata begitu sahaja kepada kami.

“Ini adalah perlawanan bola sepak. Pasukan profesional menentang pasukan profesional, jadi kami perlu bersedia seperti mana menghadapi Sabah atau KDN FC. Persiapan kami tetap sama,” katanya.

Selangor dijangka tidak berdepan masalah untuk meraih kemenangan menentang KDN FC dalam aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Sabtu.

Skuad Gergasi Merah ketika ini dalam misi untuk mempertahankan kedudukan naib juara Liga Super dan mereka ketika ini memungut 43 mata, lapan mata mendahului Sabah di kedudukan ketiga liga.

Bagaimanapun, Kinoshi tidak mahu rasa selesa dengan kelebihan lapan mata itu dengan Sabah juga masih berpeluang memintas pada saat akhir dengan liga berbaki tiga perlawanan.

“Kita tidak boleh melihat ke belakang. Fokus sahaja ke hadapan. Memang benar kita tidak mampu mengejar JDT, tetapi kita masih mempunyai peluang untuk mendekati mereka.

“Selain itu, kita juga berpeluang untuk mengumpul lebih banyak mata dalam kejohanan ini.

“Tidak kira sama ada menang 1-0, 2-0, atau 2-1, 3-1, itu bukan isu utama. Yang penting, fokus untuk meraih kemenangan dalam baki perlawanan,” ujarnya.

LIGA SUPER

SABTU (8 MAC)

Selangor lwn Kelantan Darul Naim FC

(Stdm Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 10 malam)

Perak FC lwn Negeri Sembilan FC

(Stadium Majlis Perbandaran Manjung, 10 malam)

PDRM FC lwn Sri Pahang FC

(Stadium Majlis Perbandaran Selayang, 10 malam)

* Tarikh, venue, masa tertakluk pindaan Liga Bolasepak Malaysia



Source link

OR

Scroll to Top