Berita yang dinanti-nantikan oleh ribuan keluarga di Selangor akhirnya tiba! Kerajaan Negeri Selangor telah mengumumkan satu inisiatif pendidikan yang sangat padu, di mana yuran pengajian di dua universiti milik negeri iaitu Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Islam Selangor (UIS), akan ditanggung separuh harga atau dengan kata lain dapat diskaun 50 peratus! Inisiatif ini akan mula berkuat kuasa untuk sesi kemasukan September 2026 nanti.
Pengumuman ini dibuat oleh Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, semasa pembentangan Belanjawan Selangor 2026. Beliau menjelaskan bahawa langkah ini adalah jawapan dan sokongan padu Kerajaan Negeri terhadap hasrat pendidikan percuma yang disuarakan dalam Belanjawan Persekutuan 2026.
BACA: Insentif Naik Ke RM1,500 Untuk Jemaah Haji, Tambah Tajaan Penuh
Jadi, ini bukan sahaja meringankan beban kewangan tetapi juga menunjukkan komitmen Selangor untuk menjadi peneraju dalam menyediakan akses pendidikan tinggi.
Peruntukan Mega RM17.3 Juta Untuk 4,000 Pelajar
Untuk menjayakan program Subsidi Yuran Pendidikan ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah besar RM17.378 juta. Peruntukan ini akan memberi manfaat kepada seramai 4,000 orang mahasiswa yang layak bergelar “Anak Selangor” di kedua-dua institusi tersebut. Bayangkan, dengan subsidi 50 peratus ini, kos pengajian anda akan berkurang separuh, membolehkan anda fokus sepenuhnya kepada pelajaran tanpa perlu memikirkan yuran yang membebankan.
Bukan Sekadar Yuran, TAWAS Pun Dapat Bonus!
Komitmen Selangor terhadap pendidikan anak-anaknya tidak terhenti di subsidi yuran sahaja. Dato’ Menteri Besar turut mengumumkan berita gembira untuk ahli Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS). Bagi ahli TAWAS kelahiran 2008 yang kini mencecah usia 18 tahun, mereka akan menerima manfaat pembayaran sebanyak RM1,500!
Program TAWAS yang diperkenalkan sejak 2008 ini kini mula membuahkan hasil, di mana ahli yang pernah menerima bantuan persekolahan sewaktu darjah satu, kini menerima bonus tunai untuk memulakan kehidupan dewasa atau melanjutkan pengajian.
Secara ringkasnya, jika anda seorang “Anak Selangor” yang layak, anda berpotensi untuk mendapat dua manfaat besar: diskaun 50% yuran universiti dan juga cash RM1,500 dari TAWAS.
Kelayakan “Anak Selangor” biasanya merujuk kepada mereka yang lahir di Selangor, atau yang telah lama menetap dan bersekolah di negeri ini. Pastikan anda sentiasa ikuti pengumuman rasmi dari UNISEL dan UIS untuk maklumat permohonan yang lebih terperinci.






