Selangor tersingkir saingan Piala Malaysia

Selangor tersingkir saingan Piala Malaysia


Selangor terpaksa akur tewas kepada Sri Pahang dalam aksi pusingan 16. Foto Selangor FC

SRI Pahang menempah tiket suku akhir Piala Malaysia selepas menyingkirkan Selangor FC 3-2 melalui keputusan agregat dalam aksi pusingan 16 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Ahad.

Skuad Pantai Timur itu yang mengikat Selangor 1-1 di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh baru-baru ini berjaya memenangi aksi kedua di Stadium MBPJ 2-1 untuk menempah pertemuan dengan Perak FC di suku akhir.

Selangor bermula baik dengan beberapa peluang dari luar kotak penalti, namun percubaan mereka tidak berjaya menembusi gawang dikawal oleh Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin.

Bagaimanapun, skuad kendalian Kinoshi Katsuhito itu tersentak apabila Sri Pahang dihadiahkan sepakan penalti selepas semakan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) menyaksikan Mykola Ahapov dijatuhkan oleh Harith Haiqal Adam Afkar.

Manuel Hildago yang berdepan Muhammad Azim Al Amin tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan sepakan penalti meletakkan Sri Pahang di hadapan pada minit ke-25.

Selangor terpaksa menunggu sehingga minit ke-76 untuk menyamakan kedudukan hasil jaringan kapten pasukan, Muhammad Safuwan Baharudin yang menanduk hantaran lintang Alvin Fortes.

Belum sempat tuan rumah menarik nafas lega, Sri Pahang sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti selepas Ahapov ditarik oleh Quentin Cheng pada minit ke-82.

Sergio Aguero yang ditugaskan untuk mengambil penalti itu tenang menyempurnakan sepakan untuk sekali lagi menewaskan Muhammad Azim memastikan kemenangan berpihak kepada Sri Pahang.

Kekalahan itu juga menyaksikan pengendali baharu Selangor, Katsuhito masih belum berjaya meraih kemenangan selepas dua perlawanan mengemudi Gergasi Merah.



Source link

OR

Scroll to Top