SHAH ALAM: Selangor umum cuti pada 1 September depan sebagai penghargaan kepada pengorbanan atlet dan 10,000 sukarelawan yang membantu sepanjang temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII 2026.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang memberi kepercayaan kepada negeri ini sebagai tuan rumah bagi acara SUKMA dan Para SUKMA kali ini.
“Bagi atlet-atlet Selangor, anak-anak kita yang mewakili pasukan Merah Kuning, selepas 468 acara sukan yang dipertandingkan, anda berjaya memenangi 101 pingat emas, 73 perak dan 71 gangsa.
Selaku Menteri Besar, saya tumpang gembira atas prestasi yang sungguh hebat itu. Atas prestasi yang luar biasa dalam SUKMA dan sebagai tanda penghargaan kepada setiap atlet, saya berbesar hati mengumumkan kerajaan mengisytiharkan cuti peristiwa khas pada 1 September iaitu Selasa depan,” katanya dalam ucapan pada Majlis Penutup SUKMA XXII Selangor 2026 di sini, hari ini.
Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menyempurnakan upacara penutup tersebut yang berlangsung di Aneka Walks, Shah Alam.
Terdahulu, Selangor dinobat juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) XXII 2026 apabila mengungguli sebanyak 245 pingat merangkumi 101 emas, 73 perak dan 71 gangsa pada majlis penutupnya di sini, hari ini.
Keputusan itu diumumkan secara rasmi oleh Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd. Najwan Halimi merangkap Pengerusi Jawatankuasa SUKMA XXII Selangor.
Pencapaian tersebut dianggap bersejarah apabila kontinjen tuan rumah dengan seramai 850 orang berjaya mengumpul pingat emas melepasi sasaran 80 pingat. – UTUSAN
