Acara WHAM Pickleball With The Stars anjuran Persatuan Wartawan & Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) benar-benar mencetuskan aura luar biasa apabila 25 selebriti popular bergandingan dengan 25 wakil media dalam satu pertandingan sukan santai penuh semangat, hiburan dan persaingan sihat.
Berlangsung di Pickle X, i-City Shah Alam pada Jumaat lalu, suasana mula ‘panas’ seawal jam 8 malam apabila setiap perlawanan berlangsung cukup sengit biarpun bertemakan santai. Sorakan peserta dan penonton tidak pernah berhenti, menjadikan acara ini bukan sekadar pertandingan, tetapi pesta sukan yang penuh warna!





Gandingan pelakon Ezaidi Aziz dan wartawan mStar, Nazrin Zulkafli, tampil cemerlang dan akhirnya dinobatkan juara edisi pertama WHAM Pickleball With The Stars, membawa pulang hadiah RM4,000. Tempat naib juara disandang pempengaruh terkenal Faizdickie bersama wartawan mStar, Farol Hadi yang menerima RM3,000 selepas memberi saingan hebat hingga ke final.
Untuk tempat ketiga dan keempat, kemenangan menjadi milik penyanyi Haqiem Rusli bersama Faiq Fahmi Adenan (Melodi) yang menerima RM2,000, manakala pelakon baharu Izzul Faiq bersama Muhammad Izzad Farhan Amier Zaini (Melodi) meraih RM1,000.
Kategori Pairing Paling Sporting pula dimenangi pelakon Trisha Ooi dan Penolong Pengarang Berita Hiburan Harian Metro, Wan Asrudi Wan Hasan yang menerima RM500 tajaan Sevoce Studio.






Acara dimulakan dengan sesi zumba tajaan Antava Projects sebagai pemanas badan, sekali gus menceriakan suasana dan menyatukan semua peserta. Antara selebriti yang mencuri perhatian pada malam tersebut termasuk Aeril Zafrel, Bella Astillah, Zahiril Adzim, Sheira Ayob, Yasmin Hani, Ayie Floor 88, selain Sarah Suhairi, Zizi Kirana, Adam Lee, Afieq Shazwan, Wani Kayrie, El Azman, serta beberapa selebriti dan personaliti hiburan lain.
Lebih meriah apabila acara turut diselitkan cabutan bertuah. Ayie Floor 88 berjaya membawa pulang hadiah utama berupa telefon pintar berharga RM6,000, manakala Haqiem Rusli pula bertuah mendapatkan televisyen 65 inci. Al Aqsa Carpets turut memeriahkan acara dengan hadiah dua karpet premium, diserahkan sendiri pemilik syarikat iaitu pelakon Dazrin Kamarudin.







Program ini turut mendapat sokongan padu daripada barisan penaja seperti Wawa Global, D’Herbs Terlajak Laris, Elrah Exclusive, Pickle X, Kanda, SN Legacy, ASICS, Kunafa Aiwahhh dan ramai lagi. Acara turut dihadiri Setiausaha WHAM, Sudirman Mohd Tahir.
Secara keseluruhan, WHAM Pickleball With The Stars bukan sahaja menyajikan pertandingan yang sengit dan menghiburkan, malah berjaya menjadi platform terbaik yang menyatukan pengamal media dan selebriti dalam suasana santai, mesra dan penuh semangat kekitaan.






