Selepas Finland, fokus kini Denmark

Selepas Finland, fokus kini Denmark


Tumpuan Pearly–Thinaah kini ke Denmark selepas cemerlang di Finland. Foto Agensi

KEMENANGAN bergaya Pearly Tan–M Thinaah di Terbuka Artik Super 500 pada Ahad disifatkan ketua jurulatih beregu badminton wanita negara, Rosman Razak, sebagai petanda kematangan permainan gandingan itu yang kian menyerlah di pentas antarabangsa.

Namun, beliau menegaskan kejayaan tersebut bukan penanda aras mutlak sebaliknya satu proses berterusan ke arah pembentukan konsistensi dan kestabilan prestasi menjelang cabaran lebih besar di Terbuka Denmark Super 750.

“Setiap kejohanan mempunyai situasi berbeza. Ya, mereka semakin matang, tetapi masih belajar untuk menjadi lebih konsisten dalam setiap perlawanan,” kata Rosman.

Menurutnya, kemenangan di Finland telah memberi suntikan keyakinan penting buat Pearly-Thinaah yang kini berada pada momentum terbaik untuk terus bersaing dengan beregu utama dunia di Eropah.

“Kita hanya perlu terus menyokong mereka melalui proses ini, sama ada dalam situasi positif mahupun sebaliknya,” tambahnya.

Rosman turut menegaskan bahawa perjalanan beregu wanita negara itu masih panjang, namun optimis dengan tahap keserasian dan semangat juang yang semakin mantap dalam kempen jelajah Eropah kali ini.

Pearly–Thinaah sebelum itu menutup kempen di Energia Arena, Vantaa, Finland tersebut dengan penuh bergaya apabila menundukkan pasangan Jepun, Rin Iwanaga–Kie Nakanishi, 21-7, 21-9 dalam tempoh 32 minit.

Kemenangan bergaya itu bukan sahaja menjadikan mereka beregu wanita Malaysia pertama memenangi kejohanan tersebut, malah mengukuhkan status mereka sebagai antara pasangan paling konsisten dalam siri jelajah dunia musim ini.

Kejayaan di Finland turut melakar sejarah tersendiri apabila Pearly–Thinaah buat kali pertama menjuarai dua kejohanan Siri Jelajah Dunia dalam satu musim, selepas turut meraih gelaran Terbuka Thailand pada Mei lalu.

Selain itu, mereka juga menamatkan saingan sebagai naib juara di empat kejohanan utama Indonesia Masters (Januari), Terbuka Indonesia (Jun), Terbuka Jepun (Julai) dan Kejuaraan Dunia di Paris (Ogos).

Ringkasan AI

  • Kemenangan Pearly Tan-M Thinaah di Terbuka Artik Super 500 menunjukkan kematangan permainan mereka
  • Rosman Razak menekankan kejayaan itu adalah sebahagian dari proses pembentukan konsistensi dan kestabilan
  • Kemenangan di Finland memberi suntikan keyakinan kepada Pearly-Thinaah menjelang cabaran di Eropah
  • Pearly-Thinaah menjadi beregu wanita Malaysia pertama yang memenangi kejohanan tersebut
  • Mereka juga berjaya menjuarai dua kejohanan Siri Jelajah Dunia dalam satu musim



Source link

OR

Scroll to Top