Selepas iPhone 16, Indonesia larang penjualan telefon bimbit Google Pixel

Selepas iPhone 16, Indonesia larang penjualan telefon bimbit Google Pixel


Jakarta: Kementerian Perindustrian Indonesia mengharamkan penjualan telefon pintar dibuat oleh Google milik Alphabet disebabkan peraturan memerlukan penggunaan komponen dibuat secara tempatan, beberapa hari selepas negara itu menghalang penjualan iPhone 16 keluaran gergasi teknologi Apple atas alasan sama.

The Jakarta Post melaporkan, kerajaan menyekat penjualan telefon Google Pixel kerana syarikat itu tidak memenuhi peraturan mensyaratkan telefon pintar tertentu yang dijual di dalam negara iaitu mengandungi sekurang-kurangnya 40 peratus bahagian yang dihasilkan secara tempatan.

“Kami sedang mendorong peraturan ini supaya ada keadilan bagi semua pelabur di Indonesia.

“Produk Google tidak mematuhi skim yang kami tetapkan, jadi mereka tidak boleh dijual di sini,” kata jurucakap Kementerian Perindustrian, Febri Hendri Antoni Arief, pada Khamis lalu.

Google berkata, telefon Pixel mereka tidak diedarkan secara rasmi di Indonesia pada masa ini.

Febri berkata, pengguna boleh membeli telefon Google Pixel di luar negara, asalkan mereka membayar cukai yang diperlukan, dan menambah bahawa pihak kementerian akan mempertimbangkan untuk menyahaktifkan mana-mana telefon yang dijual secara haram.

Menurut data kementerian, kira-kira 22,000 telefon Google Pixel memasuki Indonesia pada tahun ini.

Pengumuman ini seminggu selepas kerajaan menyatakan larangan penjualan iPhone 16 di dalam negara, juga kerana tidak memenuhi peraturan kandungan tempatan.

Syarikat biasanya meningkatkan penggunaan komponen domestik untuk memenuhi peraturan seperti itu melalui kerjasama dengan pembekal tempatan atau dengan mendapatkan bahagian dari dalam negara.

Google dan Apple bukannya antara pengeluar telefon pintar terkemuka di Indonesia.

Dua pengeluar telefon pintar teratas di negara itu untuk suku pertama 2024 adalah keluaran firma China, OPPO dan firma Korea Selatan iaitu Samsung, kata firma penyelidikan IDC pada bulan Mei.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top