KANGAR: Kelab Bola Sepak Arau City FC yang mewakili Perlis dalam saingan Piala Emas Raja-Raja 2025 sasar membawa pulang trofi itu ke negeri ini selepas kali terakhir memenanginya pada 2014.
Menerusi perlawanan pembukaan pada Jumaat ini, Perlis dijadualkan bertemu Pulau Pinang dalam aksi di padang Universiti Sains Malaysia (USM).
Presiden Arau City FC, Hairulanuar Yahaya berkata, para pemain telah melakukan persiapan rapi sebelum perlawanan pembukaan bertemu dengan tuan rumah nanti.
“Sasaran kali ini adalah kita nak sesuatu yang lebih baik untuk Perlis dan sudah tentu kita mahu mengembalikan Piala Emas Raja-Raja setelah kali terakhir kita menang pada 2014.
“Semua pasukan pasti akan cuba yang terbaik namun kita yakin dengan persiapan yang dibuat, kita pasti dapat menghadiahkan gelaran juara buat Perlis,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran Pasukan/Penaja Piala Emas Raja-Raja Perlis di Sungai Batu Pahat, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Penaung Arau City, Senator, Azahar Hassan.
Piala Emas Raja-Raja Edisi Ke-104 tahun ini dijadualkan berlangsung bermula pada Jumaat ini melibatkan 16 pasukan yang akan berentap bagi merebut piala berprestij itu.
Perlis berada dalam kumpulan A bersama-sama dengan pasukan Pulau Pinang dan Pahang.
Mengulas lanjut, Hairulanuar berkata, pihaknya juga berpandangan lawan yang akan memberi cabaran buat Perlis pada musim ini adalah terdiri pasukan-pasukan dari Selatan tanah air.
“Bagaimapun kita akan cuba beri aksi terbaik khususnya pada perlawanan pembukaan bertemu Pulau Pinang nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Hairulanuar berkata, seramai 27 pemain telah dipilih untuk mewakili Perlis dalam saingan musim ini bersama bimbingan daripada empat barisan kejurulatihan.
“Rata-rata pemain kita adalah berusia 23 tahun ke bawah dan mereka mempunyai pengalaman beraksi dalam saingan liga kompetetif lain seperti Liga A2 dan Liga Super,” katanya.-UTUSAN