Madrid: Jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone berkata pasukannya kini memasang impian untuk mencipta sejarah dengan menjuarai Liga Juara-Juara Eropah selepas menyingkirkan Barcelona sekali gus mara ke separuh akhir, awal pagi tadi.
Los Rojiblancos tewas 1-2 dalam aksi timbal balik suku akhir di laman sendiri, namun keputusan itu sudah memadai untuk mara dengan agregat 3-2 selepas kemenangan 2-0 di Camp Nou minggu lalu.
Atletico yang belum pernah menjuarai kejohanan itu akan berdepan sama ada Arsenal atau Sporting CP di separuh akhir.
“Kami akan masuk dengan penuh harapan dan keyakinan sepenuhnya. Kami tahu kekuatan dan kelemahan kami,” kata Simeone.
“Kami sudah bersedia. Kami akan kejar apa yang kami impikan selama ini.”
Simeone pernah membawa Atletico ke final Liga Juara-Juara pada 2014 dan 2016, namun kedua-duanya berakhir dengan kekalahan kepada seteru setempat Real Madrid.
Kali terakhir Atletico mara ke separuh akhir adalah pada 2017. “Sudah 14 tahun saya di sini, dan saya masih teruja melihat pasukan ini terus bersaing,” kata jurulatih dari Argentina itu.
“Pemain silih berganti, kami terpaksa bermula semula banyak kali, tetapi kini kami kembali sebagai antara empat pasukan terbaik di Eropah.”
Penyerang berpengalaman Atletico, Antoine Griezmann berkata pasukannya sentiasa percaya mampu bangkit selepas Barcelona menjaringkan dua gol awal.
Lamine Yamal dan Ferran Torres meletakkan Barcelona di depan, namun gol Ademola Lookman untuk Atletico akhirnya menjadi penentu.
“Dengan sokongan penyokong dan kualiti yang kami ada, kami tahu kami boleh dapatkan gol,” kata Griezmann.
“Kami tidak selesa dengan bola, tidak cukup tenang untuk bermain, tetapi kami tetap mara ke separuh akhir.”
Tambahnya lagi: “Ia perlawanan yang indah dan sukar, menentang pasukan bermain dengan sangat baik. Ia sangat mencabar, tetapi kami berjaya.”
Jurulatih Barcelona, Hansi Flick pula berkata beliau percaya pasukannya layak mara ke separuh akhir, namun perlu belajar daripada kekalahan itu.
“Kami bermain dengan hebat pada separuh masa pertama, tetapi kami perlu menjaringkan lebih banyak gol. Ia sebenarnya sangat mungkin, tetapi kami melepaskan gol yang tidak dijangka,” katanya.
“Jika melihat kedua-dua perlawanan, kami sebenarnya layak ke separuh akhir. Mentaliti dan sikap ditunjukkan pemain sangat membanggakan saya.”
Flick berkata walaupun beliau berpuas hati dengan pemainnya, penyingkiran itu tetap mengecewakan dan perlu dijadikan pengajaran.
Barcelona menamatkan kedua-dua perlawanan dengan 10 pemain, apabila Pau Cubarsi dilayangkan kad merah di Camp Nou dan Eric Garcia dibuang padang pada aksi di Madrid.
“Kami perlu belajar daripada situasi ini, apa yang perlu dilakukan. Kami mempunyai pasukan muda dan saya yakin kami akan menjadi lebih baik musim depan,” katanya.
“Setiap hari kami perlu belajar dan menjadi lebih baik. Inilah yang perlu kami lakukan. Ia sangat mengecewakan untuk semua orang, termasuk saya. Ini bola sepak, ini kehidupan, dan kami perlu bangkit semula.”
© New Straits Times Press (M) Bhd






