MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengingatkan ahli jawatankuasa (AJK) badan sukan tidak terburu-buru mengheret pertikaian ke peringkat atasan tanpa terlebih dahulu menyelesaikannya secara dalaman.
Beliau menegaskan bahawa setiap persatuan perlu memahami proses pentadbiran serta berpegang kepada tatacara yang betul dalam menangani sebarang isu dalaman.
“Jangan terus naik ke tingkat 17 (pejabat menteri belia dan sukan di Putrajaya) bila ada isu. Selesaikan dahulu ikut saluran yang betul.
“Jangan seorang AJK pergi ke PJS (pesuruhjaya sukan) seorang lagi ke pejabat menteri dan seorang lagi terus jumpa KSU (ketua setiausaha kementerian).
“Inilah ‘merry-go-round’ yang sedang berlaku,” katanya di Putrajaya pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika sidang media pengumuman pelantikan lima anggota baharu Jawatankuasa Pertikaian Sukan (JKPS) bagi penggal 2025 hingga 2027 yang berkuat kuasa mulai 1 Mei lalu hingga 30 April 2027.
Menurut Hannah, sebanyak 75 aduan pertikaian telah diterima sepanjang tahun lalu, namun hanya 14 dirujuk untuk tindakan lanjut dan dua kes sahaja dibawa ke perbicaraan.
“Banyak aduan yang kami terima sebenarnya boleh diselesaikan di peringkat awal. Ia tidak perlu sampai ke JKPS pun jika persatuan ada mekanisme dalaman yang berfungsi,” ujarnya.
Justeru beliau mahu setiap badan sukan menubuhkan jawatankuasa perundangan sendiri agar isu tidak terus dibawa ke luar sebelum mencari penyelesaian sewajarnya.
Katanya, kementeriab juga sedang merangka latihan dan program pemerkasaan untuk meningkatkan kefahaman dalam kalangan AJK berkenaan tadbir urus dan perlembagaan persatuan.
“Ramai AJK masih tidak jelas saluran sebenar. Sebab itu kita akan hasilkan lebih banyak infografik dan latihan.
“Supaya mereka tahu, bila patut ke mahkamah, bila ke PJS, bila ke JKPS, atau bila boleh rujuk ke MOM (Majlis Olimpik Malaysia). Bukan semua perkara boleh terus bawa ke pejabat menteri,” tegasnya.
Dalam masa sama, Hannah turut memaklumkan bahawa Majlis Sukan Negara (MSN) giat meneliti cadangan penubuhan pusat sehenti khas untuk atlet yang berdepan pertikaian.
“Ramai atlet takut nak suarakan isu kerana risau akan dikenakan tindakan oleh persatuan sendiri. Maka kita mahu sediakan ruang yang selamat dan teratur untuk mereka mendapatkan panduan serta bantuan,” tegasnya.