Kuala Lumpur: Meskipun berada dalam keadaan uzur, ia bukan penghalang untuk Tokoh Wartawan Negara, Khalidah Adibah Amin, 90, terus memelihara minda supaya kekal aktif.
Bekas Pengarang Kumpulan BH yang dikenali dengan nama pena, Seri Delima itu mengekalkan ketajaman pemikirannya dengan menguji penguasaan kosa kata menerusi permainan teka silang kata.
Perkembangan anak sulung kepada Allahyarham Tan Sri Zainon Sulaiman atau Ibu Zain itu dikongsikan adik Adibah, Khalilah Fadzilah Amin, 87, yang turut berterima kasih atas keprihatinan diberikan ke atas figura mesra dikenali sebagai ‘Cikgu Bedah’.
“Adibah sudah tidak mampu lagi berkarya menerusi hasil penulisan beliau, selain kini terlantar sepenuhnya di atas katil.
“Beliau tidak lagi berkarya kerana keadaan tangan kanannya semakin lemah selepas diserang sakit angin ahmar pada 2008.
“Akibat sakit sama, Adibah mengalami kesukaran untuk membaca dan daya ingatan baharunya agak terbatas. Namun, di usia emasnya, beliau masih boleh berkomunikasi dan kenal orang,” katanya di sini, malam ini.
Terdahulu, Khalilah Fadzilah mengiringi Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff, yang menyempurnakan pelancaran buku ‘As I Was Passing: Legacy Edition’ sempena Majlis Malam Penghargaan Adibah.
Buku berkenaan adalah himpunan terpilih kolum paling ikonik tulisan Adibah, selain menampilkan gambar yang belum pernah diterbitkan serta tandatangan peribadinya. Naskhah eksklusif itu diterbitkan dalam edisi terhad sebanyak 1,000 salinan sahaja.
Pada majlis sama, dana hampir RM100,000 berjaya diraih untuk disumbangkan bagi menyokong keperluan penjagaan kesihatan jangka panjang figura yang tidak asing dalam dunia kewartawanan dan kesusasteraan tanah air itu.
Majlis itu turut menghimpunkan beberapa tokoh dunia kewartawanan negara, termasuk Tan Sri Johan Jaafar, Datuk Abdul Kadir Jasin dan Datuk Seri Wong Chun Wai, yang hadir sebagai tanda sokongan kepada Adibah.
Beliau kini berada dalam keadaan uzur susulan faktor usia dan memerlukan penjagaan sepenuh masa, selain turut menghidap kencing manis.
Sepanjang kerjayanya, Adibah pernah berkhidmat sebagai pengarang akhbar The Star dan New Straits Times selain mencatat sejarah sebagai wanita pertama memegang jawatan Pengarang Kumpulan BH.
Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 1991 itu juga dikenali sebagai kolumnis, penterjemah, pendidik dan novelis serta pernah menjadi tenaga pengajar di Kolej Tunku Kurshiah.
Pada Jun 2024, beliau dinobatkan sebagai Tokoh Wartawan Negara 2023 pada Malam Wartawan Malaysia sempena Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2023.
© New Straits Times Press (M) Bhd






