am@hmetro.com.my
Keningau: Kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang di sungai Kampung Baginda, di sini, hari ini.
Mangsa Zulfazli Azrul, 6, disedari hilang oleh keluarganya pada 12.15 tengah hari, selepas menemui selipar mangsa di tepi sungai yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah mereka.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Sharudy Delamin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.18 petang.
Katanya, sepasukan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak sembilan kilometer dari balai bomba.
“Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Pasukan penyelamat melakukan pencarian di kawasan terakhir mangsa dilaporkan hilang, dan operasi turut dilakukan di tebing sungai sejauh kira-kira 100 meter bersama penduduk kampung,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, setakat ini mangsa belum ditemui dan operasi pencarian masih diteruskan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






