Seludup senjata api: Polis siasat pembabitan sindiket jenayah terancang

Seludup senjata api: Polis siasat pembabitan sindiket jenayah terancang


am@hmetro.com.my

Baling: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat secara menyeluruh sama ada rakyat Malaysia yang ditahan di Thailand kerana menyeludup senjata api terbabit dengan sindiket jenayah terancang atau sekadar berperanan sebagai ‘transporter’.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya sudah menerima taklimat penuh daripada polis berhubung kes berkenaan.

Katanya, tangkapan dibuat di Thailand hasil kerjasama erat antara pihak berkuasa kedua-dua negara sama ada di peringkat kerajaan-ke-kerajaan (G2G) mahupun police-to-police (P2P).

“Tangkapan dibuat di Thailand kerana kita ada hubungan baik antara Malaysia dan Thailand. Oleh kerana tangkapan dibuat di sana, pihak berkuasa Thailand akan jalankan siasatan sepenuhnya.

“Kebiasaannya mereka juga akan memaklumkan perkembangan kes kepada kita. Dalam masa sama, kita sudah melakukan profiling (kumpul maklumat terperinci) terhadap individu terbabit untuk dapatkan gambaran lebih jelas,” katanya ketika ditemui selepas meluncurkan Kampung Angkat dan Sekolah Angkat Madani Jabatan Imigresen di Sekolah Kebangsaan Rambong Pulai, di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, siasatan awal mendapati setakat ini suspek tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan jenayah besar atau rangkaian terancang.

Katanya, fokus penyiasatan kini adalah untuk mengenal pasti sama ada lelaki itu hanyalah orang upahan atau sebahagian daripada jaringan yang lebih besar.

“Kita sahkan dia adalah rakyat Malaysia dan tangkapan itu turut membabitkan senjata api serta peluru. Ini membuktikan isu ini serius dan perlu ditangani dengan teliti.

“Kita akan siasat sehingga ke penghujung untuk mengetahui siapakah rangkaian sebenar di sebalik cubaan penyeludupan tersebut,” katanya.

Ketika ditanya adakah suspek terbabit dengan kumpulan keganasan, beliau berkata siasatan awal belum menemui bukti penglibatannya ke arah kumpulan terbabit.

“Belum ada bukti ke arah itu setakat ini (dengan mana-mana kumpulan berkaitan keganasan) ,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki Malaysia berusia 42 tahun ditahan di Danok, Sadao, Thailand Sabtu lalu selepas polis negara itu menemui dua laras raifal M16 serta 450 butir peluru yang disorok dalam keretanya.

Suspek dilaporkan mengaku menerima upah sebanyak RM10,000 untuk menyeludup senjata berkenaan ke Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top