Seluruh England: Misi sukar Zii Jia

Seluruh England: Misi sukar Zii Jia


Zii Jia berdepan laluan sukar dalam misi meraih gelaran kedua Seluruh England minggu depan selepas kali pertama memenanginya empat tahun lalu. Foto Agensi.

PEMAIN perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia berdepan laluan sukar dalam misi meraih gelaran kedua Seluruh England minggu depan selepas kali pertama memenanginya empat tahun lalu.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu dijadual menentang pemain nombor satu dunia, Shi Yu Qi dalam saingan suku akhir.

Atas kertas rekod pertemuan dengan pemain China itu tidak menyebelahi Zii Jia apabila hanya menang sekali daripada enam pertemuan.

Berbanding Yu Qi memiliki profil cemerlang apabila menutup musim 2024 dengan gelaran Jelajah Dunia Akhir Disember lalu, selain membuka tirai 2025 menjuarai Terbuka Malaysia.

Bagaimanapun sebelum pergi jauh, pemain nombor tujuh dunia itu perlu melepasi halangan Ng Ka Long dari Hong Kong dalam pusingan awal pada kejohanan berprestij tersebut bermula 11 hingga 16 Mac ini.

Ka Long yang dibimbing bekas pengarah kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann mungkin mempunyai resepi tersendiri, namun kelebihan menjadi milik Zii Jia yang mengungguli lima pertemuan terakhir mereka sejak 2023.

Sekiranya berjaya mengatasi Ka Long, pemain berusia 26 tahun itu berpotensi menentang juara dunia 2021, Loh Kean Yew pada pusingan kedua.

Meskipun Zii Jia mempunyai rekod kemenangan 8-2, namun pemain Singapura itu memperoleh tonik tambahan setelah muncul naib juara Terbuka Jerman selepas tewas kepada Viktor Axelsen dari Denmark dalam aksi final minggu lalu.

Andai mara ke separuh akhir, pemain dari Alor Setar, Kedah itu akan membuat perhitungan dengan juara bertahan, Jonatan Christie dari Indonesia, juara 2023, Li Shi Feng dari China atau Lakshya Sen dari India.

Sebagai rekod, Zii Jia muncul juara Seluruh England pada 2021 setelah menumpaskan Viktor Axelsen dari Denmark 30-29, 20-22, 21-9.



Source link

OR

Scroll to Top