Semak dan imbang! DBKL laksana 16 inisiatif reformasi, perkasa tadbir urus – Hannah Yeoh

Semak dan imbang! DBKL laksana 16 inisiatif reformasi, perkasa tadbir urus – Hannah Yeoh


Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil langkah memperkukuh sistem semak dan imbang menerusi penubuhan beberapa jawatankuasa baharu bagi mengurangkan pemusatan kuasa kepada Datuk Bandar serta mengelakkan konflik kepentingan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, langkah berkenaan adalah sebahagian daripada 16 inisiatif reformasi tadbir urus dan pentadbiran yang dilaksanakan DBKL dalam tempoh enam bulan lalu susulan kajian Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Antara jawatankuasa yang diwujudkan ialah Jawatankuasa Sumbangan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Jawatankuasa Audit DBKL serta Jawatankuasa Tadbir Urus dan Integriti DBKL.

Selain itu, DBKL turut menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Belanjawan yang melibatkan ahli-ahli Parlimen menerusi mesyuarat konsultasi bersama Pengarah Eksekutif DBKL dan Ahli-ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Jawatankuasa-jawatankuasa ini ditubuhkan bagi berkongsi kuasa Datuk Bandar, sekali gus memperkukuh semak dan imbang dalam proses membuat keputusan di DBKL,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Tan Kok Wai (PH-Cheras) yang meminta penjelasan mengenai senarai Reformasi Tatakelola dan Tadbir Urus DBKL yang akan dilaksanakan hasil Kajian Kebolehlaksanaan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 [Akta 190].

Artikel lain: Keselamatan, keselesaan penghuni jadi keutamaan! DBKL peruntuk RM9.6 juta naik taraf PPR Desa Tun Razak

Menurut Hannah, DBKL turut mengehadkan kuasa kelulusan sumbangan oleh Datuk Bandar kepada maksimum RM3,000, manakala permohonan melebihi jumlah itu perlu dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Tertinggi untuk pertimbangan.

Dalam masa sama, Jawatankuasa Pusat OSC Khas dimansuhkan bagi memastikan pengasingan kuasa serta mengelakkan campur tangan politik dalam proses kelulusan pembangunan.

Hannah berkata, pembukaan akses Portal OSC 3.0 Plus kepada semua Ahli Parlimen turut dilaksanakan bagi membolehkan mereka mendapatkan maklumat berkaitan pembangunan yang diluluskan di kawasan masing-masing.

“Melalui Portal OSC 3.0 Plus, sebelum ini DBKL menerima banyak aduan daripada Ahli Parlimen yang tidak mendapat maklumat lengkap mengenai pembangunan yang diluluskan di kawasan mereka kerana tidak mempunyai akses kepada portal OSC. Akibatnya, mereka sukar menjawab aduan penduduk.
“Kini, portal tersebut telah dibuka dan semua Ahli Parlimen mempunyai saluran untuk mengemukakan pandangan kepada Datuk Bandar sebelum sesuatu kelulusan diberikan di peringkat OSC,”jawab beliau.





Source link

OR

Scroll to Top