Nama selebriti serba boleh, Roslan Shah kembali menjadi sebutan ramai selepas kemunculannya dalam program Night Walk bersama MBK Film Studio yang sering tular di media sosial.
Roslan yang dikenali dengan personalitinya yang ceria dan bersahaja tidak menyangka jumlah pengikutnya di TikTok meningkat mendadak selepas lebih tiga bulan program tersebut disiarkan.
“Sebelum saya muncul dalam video Night Walk bersama MBK Film Studio, saya hanya ada sekitar 60,000 pengikut di TikTok. Alhamdulillah, selepas banyak video saya tular dan ramai menonton Night Walk bersama artis-artis undangan, jumlah pengikut saya meningkat kepada lebih 236,000,” katanya.
Menurut Roslan, popularitinya melonjak selepas bekerjasama dengan sahabat baiknya, usahawan dan pempengaruh Mangobossku yang turut menjadi tenaga utama di sebalik program Night Walk di saluran YouTube MBK Film Studio.
“Nama saya semakin dikenali selepas berkolaborasi dengan Mangobossku. Ramai yang mula mengikuti saya dan memberikan komen positif setiap kali saya buat siaran langsung di TikTok. Tapi, ada juga seorang dua ‘haters’. Kadang-kadang saya sendiri tertanya, betul ke ada orang suka tengok saya?” katanya sambil ketawa.
Walaupun tidak terlepas daripada kritikan segelintir netizen, Roslan memilih untuk melihat sisi positif dan menghargai sokongan yang diterimanya daripada peminat baharu.
“Saya terkejut bila orang kata mereka suka tengok keletah saya yang kelakar dan spontan. Ada juga yang mesej mengatakan mereka hilang stres bila tengok video saya. Saya rasa sangat gembira dan bersyukur.
“Tawaran pengacaraaan, undangan nyanyian dan kerjasama dengan pelbagai jenama juga semakin banyak saya terima. Mungkin ini berkat saya menjaga arwah ibu saya dulu,” katanya.
Selain aktif dalam dunia digital, Roslan turut gembira dengan sambutan hangat terhadap lagu terbarunya, Hantu Hantu Hantu ciptaan Adi 6ixth Sense selaku komposer dan Emma Rockers selaku penulis lirik.
“Saya bersyukur lagu Hantu Hantu Hantu mendapat tempat di hati pendengar. Ramai yang cakap lagu itu kerap dimainkan di stesen radio tempatan dan luar negara. Saya malah terkejut bila ada peminat dari Brunei mesej beritahu lagu saya selalu diputarkan di sana. Alhamdulillah, semuanya rezeki Allah,” ujarnya.
Roslan turut berterima kasih kepada semua pihak yang menyokong perjalanan seninya selama ini, termasuk rakan kolaborasi dan para peminat yang terus memberikan semangat.





