am@hmetro.com.my
Pekan: “Impian saya selepas ini hanya satu…ingin terus berkhidmat sebagai anggota tentera sekaligus mencapai impian diinginkan sejak kecil,” kata Yoong Zhen Xuan, 24.
Menurutnya, selepas tiga tahun bersama Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) kampus Pekan, dia berazam untuk berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Katanya, dia tidak pernah menyesal serta berasa rendah diri memilih menganggotai PALAPES yang
disifatkan berjaya mencetuskan semangat cinta dan sayangkan negara kepada dirinya.
“Setiap kali menyarung seragam PALAPES, saya akan berasa megah dan bangga. Malah setiap kali mengikuti latihan kawat dan pertempuran bersama rakan berbangsa Melayu, saya tidak pernah berasa disisihkan.
“Isu bangsa bukan halangan buat saya berkorban untuk negara dicintai ini. Faktor ini mendorong saya untuk berkhidmat dalam ATM selepas menamatkan pengajian di UMPSA nanti,” katanya pada Perbarisan Penutup Latihan Kem Tahunan Gabungan Rejimen 505 Askar Wataniah dan PALAPES UMPSA 2024 di Kem Force 136, di Sungai Miang di sini, semalam.
Dia yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Kejuruteraan Mekanik berkata, minatnya menyertai PALAPES mendedahkan dirinya terhadap latihan ketenteraan yang menguji ketahanan fizikal dan mental.
“Saya juga berpeluang belajar cara memasak dan ikhtiar hidup dalam hutan selain dapat membentuk semangat setia kawan tanpa mengira bangsa.
“Saya berharap lebih ramai lagi penuntut berbangsa Cina, India dan bangsa lain dapat menganggotai PALAPES sepanjang mereka belajar di universiti,” katanya yang berasal dari Ipoh, Perak.
Rakannya, Tan Wei Qie, 22 berkata, menyertai PALAPES memberi pendedahan padanya untuk lebih berdikari dan menjalinkan persahabatan dengan rakan pelbagai bangsa dan latar belakang.
Menurutnya, walaupun penat mengikuti latihan kawat dan aktiviti ketenteraan, namun ia tidak melemahkan semangatnya untuk terus menganggotai PALAPES.
Sementara itu, penuntut, D Yuganathsn, 21, berbangga terpilih menganggotai PALAPES yang dapat membentuk jati diri serta semangat cintakan pada negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd