Semangat luar biasa Aqil pencetus KBS salur RM30,000 perkasa sukan OKU

Semangat luar biasa Aqil pencetus KBS salur RM30,000 perkasa sukan OKU


DUA tahun lalu, Muhammad Aqil Naufal Zahiran hanya seorang budak bertongkat yang tular kerana nekad menamatkan larian 100 meter (m), namun semangat luar biasanya kembali memberi inspirasi buat rakyat Malaysia.

Pelajar berusia 13 tahun itu menjadi pencetus kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memberi peruntukan khas RM30,000 bagi memperkasa sukan orang kurang upaya (OKU).

Kelibat Muhammad Aqil dalam Malaysian Amputee Football Junior & Women Camp di EV Arena Elmina, Subang bukan sekadar mengimbas cerita tularnya pada tahun 2023.

Sebaliknya ia membuktikan bahawa dengan berbekal jiwa kental boleh membuka jalan besar buat ribuan lagi OKU yang sebelum ini mungkin tidak yakin untuk menyertai arena sukan.

Menerusi perkongsian di laman sosial Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mahu program sedemikian terus diperkasa.

Hannah (tengah) bersama peserta yang menyertai Malaysian Amputee Football Junior & Women Camp di EV Arena Elmina, Subang. Foto FB Hannah Yeoh.

“Saya amat menyokong inisiatif seperti ini dan atas semangat yang ditunjukkan oleh peserta termasuk Aqil, saya mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM30,000 untuk memperkasakan lagi program sebegini,” catat beliau menerusi Facebook pada Ahad.

Malah Hannah turut turun padang meninjau kem anjuran Persatuan Bola Sepak Amputee Malaysia (MAFA) itu.

Pada Ogos 2023, Muhammad Aqil menarik perhatian seluruh negara apabila rakaman videonya menyempurnakan larian 100m menggunakan tongkat sempena Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas MSSD Jerantut tular menerusi media sosial.

Selepas mendapat kaki palsu pada akhir tahun 2023, Aqil bukan sekadar bergerak lebih lancar, malah sudah menyertai sukan amputee football.

Dia berkongsi semangat dan menjadi penyuntik keyakinan buat rakan-rakan OKU lain termasuk golongan wanita yang turut mengambil bahagian dalam kem tersebut.

Penganjuran kem tersebut juga selaras dengan prinsip ‘No One Is Left Behind’ yang menjadi dasar KBS bagi memastikan setiap lapisan masyarakat termasuk OKU diberikan akses sama rata dalam pembangunan sukan negara, tanpa diskriminasi fizikal atau jantina.

Laporan Sinar Harian mengenai kelibat Aqil yang tular di media sosial.

Laporan Sinar Harian mengenai kelibat Aqil yang tular di media sosial.

“Saya turut menyeru lebih ramai OKU khususnya golongan wanita agar tampil menyertai aktiviti sukan seperti ini,” ujar Hannah.

Atlet cilik yang memiliki semangat luar biasa, Muhammad Aqil bukan sekadar ikon tular, tetapi menjadi simbol perubahan bahawa satu langkah kecil dengan tongkat, boleh mencetuskan lonjakan besar untuk masa depan sukan inklusif negara.

Sebagai rekod, bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Felda Lepar Utara Satu, Jerantut itu mengalami jangkitan kuman di kaki ketika berusia tiga tahun pada 2015 dan memerlukan pembedahan membuang keseluruhan kaki kiri sehingga ke paras pinggang.



Source link

OR

Scroll to Top