Semangat Ramadan! UMNO pelawa bekas ahli dipecat, digantung sertai semula parti -Zahid

Semangat Ramadan! UMNO pelawa bekas ahli dipecat, digantung sertai semula parti -Zahid


UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahliannya untuk kembali menyertai parti itu tanpa sebarang syarat.

Pelawa bekas ahli kembali ke parti

Menerusi kenyataan, Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Ahmad Zahid Hamidi menyatakan pelawaan tersebut dibuat menerusi inisiatif ‘Rumah Bangsa’ yang turut membuka ruang kepada individu baharu yang mahu bersama perjuangan parti berkenaan.

Menurut beliau, pendekatan itu selari dengan semangat bulan Ramadan yang menekankan nilai kemaafan dan penyatuan semula dalam kalangan ahli parti.

“Dalam semangat Ramadan yang penuh rahmat dan keampunan, segala kekhilafan dan perbezaan yang lalu dimaafkan sepenuhnya, demi membuka lembaran baharu untuk memperkukuh kembali keluarga besar UMNO.
“UMNO melihat kesempatan ini sebagai waktu terbaik untuk mempertautkan kembali tali perjuangan parti,” katanya.

umno

Jawatankuasa Rumah Bangsa akan selaraskan proses kemasukan semula

Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa kekuatan sesebuah parti politik bukan hanya bergantung kepada struktur organisasi semata-mata, sebaliknya dibina melalui sokongan serta kebersamaan seluruh ahli di setiap peringkat.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh Mohamed Khaled Nordin akan menyelaraskan proses kemasukan semula bekas ahli berkenaan dengan segera mengikut tatacara yang selaras dengan Perlembagaan UMNO.

“Semoga usaha ini dipermudahkan oleh Allah Subhanahuwataala dan menjadi titik penyatuan yang memperkukuh kembali kekuatan parti dalam meneruskan kelangsungan agenda perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air serta memastikan masa depan yang lebih baik untuk rakyat dan negara,” katanya.

Terdahulu pada Perhimpunan Agung UMNO 2025 Januari lalu, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa parti itu menubuhkan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa sebagai platform untuk menerima semula bekas ahli yang sebelum ini meninggalkan parti.

Menurutnya, penyertaan semula tersebut boleh dibuat secara individu mahupun secara berkumpulan (en bloc).

Artikel lain: KJ sifatkan peluang Zahid jadi PM makin cerah, UMNO dilihat kekal stabil

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga sebelum ini memaklumkan pelaksanaan konsep ‘Rumah Bangsa’ yang diperkenalkan UMNO dijangka menjadi medan penilaian awal ketika berlangsungnya Pilihan Raya Negeri Melaka akan datang bagi melihat keberkesanan pendekatan tersebut.

Sumber: Facebook Zahid Hamidi





Source link

OR

Scroll to Top