aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persiapan skuad badminton negara kini sudah memasuki ‘gear lima’ dan berada dalam fasa persiapan terakhir sebelum turun berjuang di pentas Olimpik Paris 2024 yang akan membuka tirainya Sabtu ini.
Diketuai pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang juga beregu
lelaki utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, kem badminton negara tampak begitu teruja untuk membuat penampilan di temasya terbesar itu.
Tidak ketinggalan beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaan dan beregu campuran, Chen Tang JieToh Ee Wei yang sudah bersedia menjelmakan kilauan pingat buat kontinjen Malaysia.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, ketiga-tiga beregu negara itu tampak begitu bersemangat untuk turun ke gelanggang di Paris nanti.
“Secara teknikalnya, kesemua pemain kita sudah melakukan persiapan yang cukup baik sejak menjalani kem latihan diadakan di sini (Lille).
“Sehinggalah hari terakhir hari ini (semalam), mereka menunjukkan komitmen yang tinggi dan semangat luar biasa ketika latihan. Itu satu petanda positif menjelang Olimpik Paris,” kata Rexy.
Pada masa sama, Rexy memberitahu, anak buahnya itu bersedia dari segi fizikal dan mental.
“Bagi Aaron dan Wooi Yik, persiapan mereka cukup signifikan. Dari segi teknik dan skil tiada masalah, cuma hanya beberapa perkara kecil perlu diperbetulkan terutamanya bagaimana cara mereka menangani tekanan.
“Untuk Tang Jie dan Ee Wei pula, persiapan mereka juga baik. Saya juga nampak Ee Wei sudah kembali berada dalam kondisi terbaiknya dan harap dia dapat mengawal apa jua situasi apabila turun ke gelanggang nanti.
“Sama juga persiapan Pearly dan Thinaah, mereka cukup bersemangat setiap kali turun menjalani latihan di sini (Lille). Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah untuk lindungi Pearly daripada mengalami kecederaan,” jelas Rexy.
Dalam pada itu, Rexy berterima kasih kepada semua pihak termasuk Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin yang bersama-sama memberikan sokongan kepada skuad badminton.
“Dalam masa tiga hari ini mulai 19 Julai lalu, Hamidin memberikan kata-kata semangat dan sokongan moral kepada kesemua barisan pemain negara dalam kem latihan di Lille.
“Sudah tentu, setiap apa yang dikatakan oleh beliau mampu meningkatkan lagi semangat pemain. Kehadiran Datuk Hamidin menambahkan motivasi setiap pemain untuk berjuang pada Sukan Olimpik Paris.
“Terima kasih juga saya ucapkan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) atas sokongan yang diberikan selama ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd