am@hmetro.com.my
Rembau: Lelaki tempatan sanggup membuat laporan polis palsu mengenai kehilangan kereta mewah miliknya, semalam, semata-mata mahu membuat tuntutan insurans.
‘Mangsa’ mendakwa dia disamun dua lelaki kira-kira 10.30 malam Jumaat lalu dan suspek kononnya melarikan kereta dinaikinya bersama barang peribadi.
Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Shaik Abd Kadir Shaik Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan dibuat lelaki lingkungan 40-an itu pada 3.15 pagi Sabtu.
“Dalam kejadian itu, dia mendakwa ditahan dua individu tidak dikenali dan dikatakan barang peribadi disamun serta kereta jenis Audi dilarikan.
“Pihak kami kemudiannya menjalankan siasatan seperti biasa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, namun hasil siasatan dan soal siasat terhadap pengadu mendapati kejadian dilaporkan adalah palsu.
“Dia didakwa membuat laporan itu untuk membuat tuntutan daripada syarikat insurans,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu katanya, siasatan lanjut terhadap kes diteruskan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd