PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola tidak berselindung menggambarkan betapa besar cabaran merebut tempat ke Liga Juara-Juara musim depan, selepas terpaksa bergelut musim ini.
City sebelum itu kehilangan mata ketika seri 2-2 di laman sendiri menentang Brighton & Hove Albion, menyebabkan juara bertahan itu berada di tangga kelima Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan sembilan perlawanan berbaki.
“Sehingga penghujung musim, saya rasa setiap perlawanan bagaikan perlawanan akhir.
“Walaupun begitu, saya tetap yakin. Saya seorang pakar dan sentiasa mencari perkara positif dalam setiap keadaan. Saya tahu cabaran ini tidak mudah,” kata Guardiola.
Erling Haaland dan Omar Marmoush menjaringkan gol untuk City, yang kelihatan bersedia untuk meraih kemenangan di Stadium Etihad sebelum gol sendiri pemain pertahanan City, Abdukodir Khusanov, menyebabkan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata – mata pertama Brighton di Etihad.
“Ia adalah fakta kami memenangi mata pertama di sini tetapi lebih kepada perasaan kecewa kerana kami tidak pulang dengan tiga mata,” kata pengendali Brighton, Fabian Hurzeler.
Sementara ity, Haaland mencipta sejarah dengan mencapai 100 penglibatan gol liga lebih pantas daripada sesiapa pun sebelum ini, dalam 94 perlawanan, enam perlawanan kurang daripada bekas penyerang Blackburn Rovers, Newcastle United dan England, Alan Shearer.
Namun, gol sendiri Khusanov adalah gol ke-40 yang dibolosi dalam liga musim ini, yang paling banyak di mana-mana pasukan City diuruskan Guardiola dalam satu musim.
“Kami memulakan separuh masa kedua dengan mendahului 2-1 dan mempunyai peluang baik untuk menambah jaringan.
“Dalam sepakan sudut, kami cuai dan mereka menyamakan kedudukan, kemudian kami tidak stabil. Itu adalah perkara biasa.
“Kami kembali dalam permainan dan mempunyai momen yang sangat baik. Mereka mempunyai satu peluang yang jelas kemudian tetapi kami berada di sana dan kami menekan sehingga akhir. Kami akan mengambil mata ini,” kata Guardiola.