PUTRAJAYA: Tiga sektor strategik iaitu industri semikonduktor, peralihan tenaga dan ekonomi Islam dikenal pasti sebagai pemacu utama dalam Belanjawan Madani Keempat tahun 2026.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ketiga-tiga sektor itu akan terus disokong dalam usaha meningkatkan daya saing negara, sektor berpertumbuhan dan bernilai tinggi.
Menurut beliau, Belanjawan 2026 merupakan belanjawan sulung yang mendokong matlamat Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Pada masa sama, peningkatan pendapatan rakyat dan meringankan tekanan kos sara hidup juga akan terus menjadi ikhtiar utama kerajaan dalam Belanjawan 2026.
“Langkah-langkah yang dirancang akan terus menaikkan siling dan lantai berteraskan tatakelola baik dalam pentadbiran.
“Kerajaan juga akan terus mengupaya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan syarikat mula niaga agar menjadi pengeluar produk dan perkhidmatan Made by Malaysia.
“Agenda digital dan kecerdasan buatan terus diberi tumpuan selari dengan usaha membudaya daya cipta bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi berteraskan penciptaan nilai,” katanya ketika berucap pada pembukaan Majlis Libat Urus Belanjawan 2026 di Kementerian Kewangan, di sini hari ini.
Mengikut Takwim Penggal Keempat Parlimen Ke-15 2025, Belanjawan 2026 dijadual akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 Oktober depan.
Amir Hamzah yang juga Menteri Ekonomi berkata, tumpuan kerajaan kekal untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kerajaan kepada rakyat selari dengan agenda RMK13 untuk mereformasi pendidikan dan kesihatan.
Katanya, dengan kehadiran wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta persatuan sosial dalam sesi libat urus ini, akan berikhtiar membantu rakyat termiskin secara holistik selain memperkasa jaringan perlindungan sosial.
“Kerajaan terus dipimpin dengan prinsip tatakelola baik termasuk dalam soal mempercepat dan mempermudah urusan perniagaan.
“Saya berharap sesi hari ini menjadi medan strategik untuk kita bersama-sama mencorak hala tuju masa hadapan negara dengan merumuskan input yang bernas demi merangka Belanjawan 2026 yang berimpak tinggi ke arah membangunkan Malaysia secara menyeluruh,” katanya.
Beliau turut mempelawa semua yang hadir serta seluruh rakyat Malaysia untuk mengemukakan cadangan menerusi Portal Cadangan Belanjawan 2026 di laman web Kementerian Kewangan. – UTUSAN