Isteri Nubhan, iaitu Dr Afifah Hidayah memohon orang ramai untuk mendoakan agar suaminya itu ‘ditiup’ kelembutan dalam hatinya.
Menerusi perkongsian di Threads, Dr Afifah atau lebih dikenali sebagai Dr Fie berharap agar Nubhan masih mahu mempertahankan atau menyelamatkan rumah tangganya demi isteri dan anak-anak.
“Terhibur hati Fie hari ni, tiba-tiba ada masa baca kata-kata semangat semua doa yang baik-baik utk Fie and Nubhan ya.
“Semoga ada kelembutan di hati dia untuk Fie dan anak-anak,” katanya.
Sementara itu, kes perceraian antara mereka dijadualkan bersambung pada 2 Disember depan, di hadapan Hakim Syarie Tuan Muhamad Nazri Basrawi.
Dalam prosiding terdahulu, Nubhan selaku plaintif diwakili oleh peguam syarie Mohd Redzuan Ramli, manakala Dr Afifah diwakili Datuk Akberdin Abdul Kadir.
Menurut peguam, Nubhan pernah melafazkan cerai pada 2017, namun pasangan itu kembali rujuk dalam tempoh idah dan kini, penyanyi itu memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai selepas insiden yang didakwa berlaku dalam sebuah kereta pada 26 Ogos lalu.
Difahamkan, perpisahan mereka berlaku secara baik tanpa konflik besar, sebaliknya berpunca daripada perselisihan faham yang berpanjangan dan mula tinggal berasingan.
Untuk rekod, Nubhan dan Dr Afifah, yang juga seorang doktor gigi, mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 selepas hampir setahun bertunang.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, dan Afzan Nayille, 3 tahun.