Semua kakitangan Matrade, HDC dikekalkan selepas penggabungan

Semua kakitangan Matrade, HDC dikekalkan selepas penggabungan


KUALA LUMPUR- Penggabungan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) tidak akan menjejaskan tenaga kerja di kedua-dua agensi berkenaan.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam kenyataan menjelaskan, semua kakitangan agensi terbabit akan dikekalkan.

Katanya, matlamat penggabungan dua agensi di bawah kementerian itu adalah untuk memperkukuh kemampuan sokongan eksport MATRADE, disokong oleh pengetahuan industri khusus oleh HDC.

Gabungan itu juga katanya, dapat memperluas akses pasaran untuk produk dan perkhidmatan halal Malaysia melalui rangkaian strategik 49 pejabat perdagangan MATRADE di seluruh dunia.

Menurut MITI, industri halal dan sektor eksport yang lebih kuat juga akan menyokong PKS tempatan, serta mencipta lebih banyak peluang pekerjaan untuk penduduk setempat.

“Susulan pembentangan Belanjawan 2025, MITI telah memulakan pelaksanaan pelbagai langkah berkaitan kementerian ini. Salah satu langkah penting yang akan dilaksanakan tidak lama lagi ialah penggabungan strategik antara MATRADE dan HDC untuk membentuk ekosistem perdagangan dan industri halal yang lebih kukuh dan bersepadu.

“Sebagai langkah segera, MITI telah menubuhkan Jawatankuasa Pro Tem untuk menyelaraskan sumber dan rangka kerja operasi, sambil memastikan bahawa sebarang penggabungan fungsi dan jawatan akan diurus dengan adil.

“Melalui operasi yang diperkemas, perkhidmatan asas yang boleh digabungkan dan sokongan pembangunan serta promosi perdagangan yang diperkukuh untuk pengeksport halal terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan penggabungan ini bertujuan untuk meningkatkan kepimpinan dan daya saing Malaysia dalam pasaran halal global, yang dijangka mencapai AS$5 trilion (RM21.74 trilion) menjelang 2030,” katanya.

MITI menegaskan, penggabungan sedemikian juga penting untuk mempersiapkan Malaysia dengan penawaran halal yang lebih strategik, sambil bersiap sedia untuk memanfaatkan sepenuhnya Kepengerusian ASEAN Malaysia tahun hadapan bagi menarik pelaburan yang tepat dan memperluas eksport Malaysia di Asia, serta di negara rakan ASEAN yang utama.

“Seperti yang digariskan oleh Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030), objektif ini akan dicapai melalui penerapan teknologi inovatif, peningkatan kualiti produk dan pematuhan kepada piawaian antarabangsa oleh industri halal Malaysia.

“Reformasi industri yang disasarkan ini juga akan memastikan ketahanan dan daya saing sektor halal, dengan memperkuat kedudukan Malaysia dalam rundingan perjanjian perdagangan dan memperluas akses pasaran untuk pengeksport halal kita.

“MITI, MATRADE dan HDC akan meneruskan pendekatan pembangunan menyeluruh dan sistematik dalam merancang sektor halal Malaysia, dengan membabitkan pihak berkepentingan utama yang lain, terutama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), yang bertanggungjawab bagi pensijilan produk dan perkhidmatan halal Malaysia,” katanya.

MITI turut menaruh keyakinan bahawa penggabungan MATRADE dan HDC akan mewujudkan ekosistem perdagangan dan industri halal yang lebih kukuh dan tahan lasak, yang menjanjikan sokongan yang lebih baik untuk perniagaan, pengiktirafan antarabangsa yang lebih besar terhadap kepimpinan halal Malaysia, serta ekonomi negara yang lebih kompetitif. -MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top