‘Semua patut bertanggungjawab bukan setiausaha agung sahaja’ – TMJ

‘Semua patut bertanggungjawab bukan setiausaha agung sahaja’ – TMJ


PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menyifatkan semua pihak tidak seharusnya menuding jari dan menyalahkan antara satu sama lain, sebaliknya perlu tampil bertanggungjawab susulan isu hukuman oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Menurut baginda, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman yang digantung baru-baru ini tidak sepatutnya menjadi satu-satunya individu yang dipersalahkan.

“Saya tak setuju. Secara jujur, saya rasa penggantungan terhadap Setiausaha Agung FAM tidak patut.

“Ramai yang terlibat dengan projek FAM, membantu FAM tak kisah sama ada dalam pencarian bakat pemain atau apa-apa saja cara. Bagi saya, semua patut memikul tanggungjawab ini termasuk Pegawai Eksekutif skuad kebangsaan (Rob Friend) dan semua pihak,” titah baginda dalam sidang akhbar pada Sabtu.

Tunku Ismail turut menegaskan bahawa beliau tidak berminat untuk mencari siapa yang bersalah, sebaliknya mahu menumpukan kepada penyelesaian terbaik bagi memastikan isu tersebut dapat diselesaikan secara menyeluruh.

“Secara jujur, saya tidak berminat untuk menuding jari. Kita berada di sini untuk mencari penyelesaian,” kata baginda.

Pada 17 Oktober lalu, Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram memaklumkan bahawa Noor Azman digantung serta-merta susulan keputusan tatatertib berkaitan isu dokumentasi tujuh pemain warisan skuad Harimau Malaya.

Bulan lalu, FAM dan tujuh pemain warisan iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel telah dihukum oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Dalam kenyataan terdahulu, FIFA memaklumkan bahawa FAM telah mengemukakan dokumen yang dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain-pemain terbabit untuk beraksi dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.

Susulan itu, FAM dikenakan denda sebanyak CHF 350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF 2,000 (sekitar RM10,560) dan digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa dari tarikh notis keputusan dikeluarkan.

Dalam penjelasan sebelum ini, FAM menyatakan berlaku kesilapan teknikal dalam proses penghantaran dokumen melibatkan tujuh pemain berkenaan yang dilakukan oleh seorang pegawai pentadbiran.

Ringkasan AI

  • PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, menekankan perlunya bertanggungjawab bersama dan tidak hanya menyalahkan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman seorang diri atas isu hukuman FIFA
  • Menegaskan pendekatan mencari penyelesaian bersama bagi isu tersebut, bukan menuding jari
  • Noor Azman Rahman digantung susulan keputusan tatatertib berkaitan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan Harimau Malaya
  • FAM dan pemain-pemain terbabit dihukum oleh FIFA kerana pemalsuan dokumen, dengan FAM dikenakan denda CHF 350,000 dan pemain didenda CHF 2,000 setiap orang
  • Kesilapan teknikal dalam penghantaran dokumen tujuh pemain berkenaan diakui oleh FAM



Source link

OR

Scroll to Top