Semua PPS di Temerloh ditutup

Semua PPS di Temerloh ditutup


KUANTAN – Perkembangan banjir di Temerloh semakin baik apabila semua pusat pemindahan banjir (PPS) ditutup sepenuhnya jam 4 petang tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel Pertahanan Awam (PA), Che Adam A Rahman berkata, PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Semantan dekat Temerloh adalah terakhir yang ditutup.

“Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Temerloh memaklumkan kesemua PPS ditutup secara rasmi.

“Semua PPS yang beroperasi sejak 13 Oktober lalu melibatkan kesemua 10 PPS telah ditutup sepenuhnya.

“Banjir kali ini melibatkan seramai 556 ketua isi rumah membabitkan 1,859 orang penduduk yang terjejas dipindahkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ujarnya meskipun Monsun Timur Laut (MTL) belum lagi melanda sepenuhnya namun pihak sekretariat telah mengambil langkah pengurusan baik serta pengoperasian ketika bencana banjir berlaku.

Susulan itu, beliau menasihati penduduk yang tinggal di kawasan yang berisiko supaya sentiasa berwaspada jika berlaku hujan dan peningkatan paras air.

Masyarakat diingatkan terus patuh arahan pihak berkuasa jika diarahkan berpindah. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top