'Semua sudah diatur, perkahwinan anak tetap diteruskan Sabtu ini' – Balu Mohd Yazid

'Semua sudah diatur, perkahwinan anak tetap diteruskan Sabtu ini' – Balu Mohd Yazid


am@hmetro.com.my

Seremban: Balu kepada Konduktor Orkestra Tradisional Malaysia Istana Budaya, Mohd Yazid Zakaria, 57 yang meninggal dunia semalam, mengakui amat sedih dan terkilan kerana arwah tidak dapat bersama menyaksikan majlis perkahwinan anak perempuan mereka pada Sabtu ini.

Norlilawati Mohd Kassim, 54, berkata, majlis berkenaan yang diadakan di Senawang, di sini, akan tetap berjalan seperti dirancang kerana kad jemputan dan segala urusan berkaitan sudah diatur sejak beberapa bulan lalu.

“Memang rasa sedih dan terkilan kerana majlis perkahwinan anak perempuan sulung kami, Farahliana, 28 tahun Sabtu ini tanpa kehadiran suami.

“(Tetapi) Kita akan teruskan (majlis perkahwinan) mana yang wajib kerana urusan mengenainya sudah diatur sejak beberapa bulan lalu dan ia akan diiringi dengan majlis doa selamat buat arwah.

“Wali pun sudah bertukar kepada anak lelaki tunggal kami, menantu juga dari kalangan orang muzik,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Paroi Jaya, di sini, hari ini.

Beliau yang masih terkejut dengan pemergian arwah suaminya itu berkata, selepas selesai Majlis Makan Malam Gala ASEAN baru-baru ini suaminya ada dan membawa pulang bunga hiasan ke rumah.

Namun, katanya, dia tidak mengesyaki apa-apa terhadap tindak tanduk suaminya itu.

“Semua bunga-bunga itu sudah kami taburkan di pusara arwah,” katanya.

Menurutnya, ketika hayat, Mohd Yazid tidak menghidap sebarang penyakit, namun dia mengakui arwah suaminya agak sibuk dengan tugas sejak kebelakangan ini, yang bukan hanya di Kuala Lumpur malah di Pulau Pinang dan Melaka sejak September lalu.

“Kebelakangan ini suami pernah mengadu mengenai masalah tangan kirinya yang sering kebas. Berdasarkan apa yang dimaklumkan oleh pihak hospital dan doktor, kematiannya dikaitkan dengan masalah jantung.

“Tapi beliau pergi dalam keadaan tenang,” katanya.

Nurlilawati berkata, arwah suaminya berkhidmat dengan Istana Budaya kira-kira 20 tahun selepas menamatkan perkhidmatan dengan bahagian kesenian Petronas dan kini meninggalkan lima orang anak berusia antara 14 hingga 28 tahun.

“Saya mengucapkan terima kasih banyak kepada pihak yang membantu dan berharap dapat mendoakan arwah suami saya,” katanya.

Terdahulu, beliau menerima sumbangan saguhati daripada Pejabat Perdana Menteri yang disampaikan Pengarah Pembangunan Negeri Sembilan, Datuk Noor Ihsan Che Mat.

Media melaporkan, Mohd Yazid Zakaria, 57, yang bertanggungjawab mengetuai persembahan sewaktu Majlis Makan Malam Gala ASEAN, baru-baru ini, dilaporkan meninggal dunia pagi semalam.

Allahyarham dilaporkan rebah ketika menerima rawatan di sebuah klinik sebelum menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tunku Jaafar, Seremban, di sini, kira-kira jam 11 pagi semalam.

Berita sedih itu turut dikongsi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi kenyataan di media sosialnya, semalam.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top