Senarai akhir atlet ke Sukan SEA Thailand dimuktamad September

Senarai akhir atlet ke Sukan SEA Thailand dimuktamad September


SENARAI akhir kontinjen negara ke Sukan SEA 2025 di Thailand bakal diketahui selewat-lewatnya September ini selepas proses pemilihan senarai atlet memasuki fasa akhir.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, satu mesyuarat penyelarasan bersama Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Institut Sukan Negara (ISN) telah diadakan dua minggu lalu bagi merangka persiapan rapi ke temasya dwitahunan itu.

Menurutnya, proses mengenal pasti senarai panjang atlet giat dijalankan dan perlu dimuktamadkan sebelum akhir bulan depan.

“Ketika ini, kita sedang kenal pasti senarai panjang atlet. Senarai itu perlu disahkan sebelum akhir Julai dan senarai pendek pula akan dimuktamadkan pada September.

“Kontinjen negara dijangka menyertai 48 daripada 50 jenis sukan yang dipertandingkan dengan anggaran kekuatan antara 600 hingga 700 orang atlet,” katanya pada sidang media di Bukit Jalil pada Selasa.

Beliau turut memaklumkan bahawa senarai atlet tersebut bukan sahaja terdiri daripada mereka dalam program Podium dan pelapis, malah turut melibatkan atlet luar program yang menunjukkan prestasi konsisten di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.

Jefri turut meminta MOM menyegerakan pelantikan ketua kontinjen (CDM), timbalan CDM serta pengurus pasukan bagi memperkemas persiapan fasa seterusnya.

Mengulas prestasi sukan utama negara, beliau mendedahkan bahawa MSN giat melaksanakan transformasi terhadap sukan renang dan olahraga yang sebelum ini dilihat tenggelam dalam beberapa edisi lalu.

“Bagi renang, kita lantik pengarah teknikal dan jurulatih berprestasi tinggi dari luar negara. Kita juga sedang rancang pertemuan bersama presiden Olahraga Malaysia (MA-Datuk Karim Ibrahim) yang baharu bagi memperkemas hala tuju sukan tersebut,” katanya.

Sukan SEA 2025 dijadual berlangsung di Bangkok, Chonburi dan Songkhla dari 9 hingga 20 Disember depan.

Sebagai rekod, Malaysia menamatkan Sukan SEA 2023 di Kemboja di kedudukan ketujuh selepas meraih 34 pingat emas, 45 perak dan 96 gangsa.

Tuan rumah Vietnam muncul juara keseluruhan dengan kutipan 136 emas, diikuti Thailand (108 emas) dan Indonesia (87 emas).



Source link

OR

Scroll to Top