Los Angeles: Ketegangan antara California dan pentadbiran Presiden Donald Trump memuncak pada Khamis selepas seorang senator Amerika Syarikat (AS) yang masih berkhidmat digari dan diheret keluar secara paksa daripada satu sidang media mengenai serbuan imigresen yang kontroversi sehingga mencetuskan protes.
Insiden mengejutkan itu berlaku selepas Trump, Presiden dari parti Republikan, menghantar tentera ke Los Angeles walaupun mendapat bantahan daripada pegawai negeri dan tempatan, lapor portal NDTV.
Tindakan itu dikecam hebat oleh pihak Demokrat yang menyifatkannya sebagai ‘totalitarianisme’.
Rakaman video menunjukkan Senator Alex Padilla, seorang Demokrat, dibawa keluar dari Bangunan Persekutuan Wilshire di Los Angeles ketika beliau cuba mengemukakan soalan kepada Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Ktisti Noem, mengenai serbuan imigresen itu.
Saya Senator Alex Padilla. Saya ada soalan untuk setiausaha,” katanya sebelum dua lelaki menariknya di hadapan wartawan termasuk dari agensi berita AFP.
Rakaman oleh kakitangan Padilla di luar bilik itu menunjukkan beliau ditolak dan digari.
California yang dipimpin oleh Demokrat kini berdepan pelbagai pertelingkahan dengan Rumah Putih dan Gabenor Gavin Newsom menyifatkan Trump sebagai ‘diktator’ ketika peguamnya bersiap sedia untuk mencabar penghantaran 4,700 anggota tentera ke bandar itu.
“Jika beginilah cara pentadbiran ini melayan seorang senator yang hanya bertanya soalan… bayangkan apa yang mereka lakukan terhadap pekerja ladang, tukang masak dan buruh harian di komuniti Los Angeles,” kata Padilla pada sidang media kemudian.
Pihak Rumah Putih mendakwa insiden itu hanya satu ‘aksi teater’ dan menuduh tanpa bukti bahawa Padilla ‘menyerbu’ ke arah Noem.
Sidang media Noem itu diadakan selepas hampir seminggu demonstrasi di Los Angeles berikutan tindakan keras imigresen oleh pentadbiran Trump.
Walaupun kebanyakan protes berlangsung secara aman, terdapat beberapa insiden keganasan seperti kereta dibakar dan batu dibaling ke arah polis.
Trump menghantar 4,000 anggota Pengawal Kebangsaan serta 700 Marin AS ke Los Angeles.
Kemarahan rakyat terhadap tindakan tegas Trump dan penggunaan ejen imigresen bersenjata dan bertopeng disokong oleh tentera berseragam, kini merebak ke bandar-bandar lain. Protes secara besar-besaran dirancang di seluruh negara pada Sabtu.
© New Straits Times Press (M) Bhd