Senegal aibkan England 3-1

Senegal aibkan England 3-1


Pemain tengah England, Conor Gallagher (kiri) bersaing merebut bola dengan pemain Senegal Ismaila Sarr. Foto AFP

ENGLAND mengalami kekalahan mengejut 1-3 dalam aksi persahabatan di laman sendiri menentang Senegal, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap pengurus Thomas Tuchel setahun menjelang Piala Dunia.

Gol daripada Ismaila Sarr, Habib Diarra dan Cheikh Sabaly menghadiahkan kekalahan pertama England kepada pasukan dari benua Afrika di Stadium City Ground, Nottingham, selepas Harry Kane memberikan jaringan pendahuluan awal buat tuan rumah.

Tuchel sebelum ini mengkritik keras prestasi hambar skuad kendaliannya yang sekadar menang tipis 1-0 ke atas Andorra dalam aksi kelayakan Piala Dunia pada Sabtu lalu.

Pengendali dari Jerman itu yang dilantik bagi menamatkan penantian England sejak 1966 untuk memenangi kejohanan utama, kini mencatat kekalahan pertama dalam empat perlawanan sejak mengambil alih jawatan tersebut.

“Kita perlu melihat bagaimana pemain bertindak dalam situasi seperti ini menentang salah satu daripada 20 pasukan terbaik dunia untuk menjadi lebih bijak.

Kita bukan ke Piala Dunia minggu depan, kita akan pergi dalam setahun lagi,” katanya.

Dalam perlawanan tersebut, Tuchel melakukan 10 pertukaran pemain dengan Kane satu-satunya yang mengekalkan tempatnya dalam kesebelasan utama.

“Persembahan ini tidak cukup baik. Kami ada beberapa peluang, tetapi segalanya tidak menjadi. Kami gagal menemui rentak permainan. Kami hilang sifat agresif yang pernah kami miliki,” kata Kane.



Source link

OR

Scroll to Top